Masalah yang sering dihadapi oleh ibu-ibu adalah anak cerewet untuk makan. Jadi bagaimana hendak membuatkan si kecil suka makan? Cuba tip berikut yang boleh dipraktiskan sejak hari pertama anak belajar makan makanan pejal supaya dia tidak cerewet makan apabila semakin membesar.

1. Campurkan dengan susu ibu

  • Oleh kerana bayi baharu pertama kali hendak makan, jangan pisahkan dia dengan rasa susu ibu. 
  • Campurkan sedikit perahan susu ibu dalam hidangan makanan pejal pertamanya seperti bubur, puri buah dan puri sayuran supaya dia tidak menolak makanan yang diperkenalkan.


2. Buat jadual rutin

  • Sebaiknya apabila mula memperkenalkan makanan pejal kepada bayi, tetapkan jadual makan yang sama. 
  • Sesuaikan jadual makan dengan waktu menyusu. 
  • Jangan beri makan selepas bayi menyusu. 
  • Pastikan anak dalam keadaan lapar dan tidak mengantuk untuk sesi makanya. 
  • Waktu pagi adalah masa paling sesuai untuk ibu memperkenalkan makanan pejal kepada bayi.


3. Masak sendiri makanan bayi

  • Jika anda memilih untuk menyediakan sendiri makanan bayi, buat persiapan dengan bijak.
  • Misalnya jika bimbang tidak sempat, sebaiknya siapkan stok makanan bayi yang boleh dibekukan. Sudah tentu menjimatkan masa ibu terutama yang bekerja.


4. Kelengkapan Makan Yang Menarik

  • Kadang kala alatan yang menarik juga boleh membuatkan anak tertarik untuk menghabiskan makanannya. 
  • Apa kata beberapa minggu sebelum anak mula makan makanan pejal, ibu buat persediaan yang lengkap untuk si manja seperti sudu, garfu, mangkuk, bib dan kerusi makan supaya anak terbiasa dengan disiplin waktu makan.


5. Jangan mudah putus asa

  • Ibu perlu sabar menghadapi kerenah si kecil yang baharu belajar makan. 
  • Jangan jangkakan bayi anda terus menerima makanan yang pertama kali dirasainya. 
  • Jika bayi menolak makanan pertamanya, ibu jangan berputus asa. 
  • Ini kerana ada bayi yang memerlukan percubaan sehingga 15 kali untuk menerima makanan pejal pertamanya. 
  • Terus cuba dan mencuba!


6. Jangan memaksa

  • Jangan sekali-kali memaksa bayi menghabiskan makanan yang anda sediakan. 
  • Anda perlu faham bahasa tubuhnya, jika dia menolak makanan yang disuap, memalingkan muka atau menggelengkan kepala, lebih baik anda hentikan suapan biarpun tinggal lagi sesudu sahaja baki makanan. Itu bermakna bayi sudah terlalu kenyang untuk makan lagi. 
  • Jika dipaksa, bayi hanya akan menangis dan mungkin enggan makan lagi untuk sesi yang seterusnya kerana trauma akibat dipaksa.


Mengajar bayi makan memerlukan kesabaran dan ketekunan kerana ia adalah pengalaman pertama si manja mengenali makanan dalam hidupnya.

Sumber Asal : PaMa