Sebagai ibu bapa, kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak terutamanya dari segi makanan. Hal ini kerana kanak-kanak pada masa kini lebih gemar makan makanan yang tidak berkhasiat yang boleh memberikan kesan kepada kesihatan mereka pada masa akan datang. Contohnya, keropok, gula-gula, minuman berkarbonat dan lain-lain.

Mari kita hadam perkongsian daripada Dr Taufiq Razif tentang makanan yang dapat membantu prestasi otak anak-anak.


1 – Salmon.
Memang salmon ini agak mahal tetapi sebenarnya salmon ini antara sumber terhebat Omega 3 Fatty Acid ( DHA ) dan EPA yang membantu perkembangan dan fungsi otak si comel.

2 – Telur.
Nampak lekeh tetapi sebenarnya telur ini antara sumber protein yang hebat. Kuning telur pula kaya dengan choline yang membantu perkembangan memori si comel.

3 – Oat.
Rasa oat ini tidak ramai yang suka tetapi kalau kita melatih anak makan oat daripada kecil, memang sampai besar dia boleh terima. Tidak sedap itu cuma persepsi sahaja. Saya pun tengah latih anak saya makan oat. Dia bedal sorang je sepinggan oat sekarang ni.

Oat kaya dengan dengan tenaga untuk otak. Paling bagus kalau buat oat sebagai sarapan si comel kita supaya tenaga pertama yang otak si comel kita dapat nanti adalah daripada oat, bukannya daripada teh tarik yang penuh susu dan gula itu.

4 – Sayur sayuran yang bervariasi.
Memenuhkan sahaja peti ais rumah kita dengan sayuran seperti tomato, lobak, bayam dan lain-lain. Biasanya sayuran yang berwarna macam ini banyak antioksidan yang membuatkan otak si comel kita kuat dan sihat. Antioksidan ini juga boleh mengurangkan risiko kanser pada anak-anak kita juga.

Kenapa hendak memenuhkan peti ais dengan ‘hotdog’, makanan ringan dan nugget yang memang terbukti berbahaya pada otak si anak kan?

5 – Susu dan Yogurt.
Kedua sumber makanan ini kaya dengan protein dan vitamin B. Sangat penting untuk pertumbuhan tisu otak, neurotransmitter dan enzim. Cuma kena berhati-hati sedikit mengenai yogurt. Banyak yogurt sekarang tidak berapa hendak asli. Banyak yang ditambah gula. Itu yang berasa manis melampau itu.

Ibu bapa hendaklah mengambil berat akan cara pemakanan anak-anak sejak dari kecil lagi agar apabila meningkat dewasa nanti mereka akan mempunyai tubuh badan yang sihat dan terhindar daripada segala penyakit.

Diharapkan dengan perkongsian ini, akan dapat membantu ibu bapa di luar sana dalam menjaga pemakanan anak-anak mereka. Semoga ibu bapa terus bertabah dalam melayani kerenah pemakanan anak-anak.

Sumber : Bidadari