Alahan atau morning sickness adalah sebahagian daripada perkara normal yang akan dilalui oleh bakal ibu.

Mungkin ada sesetengah wanita hamil bernasib baik langsung tidak mengalami sebarang alahan tetapi ada pula yang sampai perlu ditahan di wad hospital akibat mengalami dehidrasi teruk kerana muntah dan kehilangan banyak air dalam badan.

Bagi wanita hamil yang sedang mengalami keadaan ini jangan cepat hilang sabar. Kuatkan semangat demi zuriat tersayang yang sedang dikandung. Tanamkan dalam minda anda bahawa rasa tidak selesa alahan tersebut akan hilang selepas tiga bulan pertama kehamilan.

Mungkin beberapa tip berikut boleh anda lakukan bagi mengurangkan sedikit sebanyak ketidakselesaan yang dialami.

1. Jangan minum terlalu banyak
Minum banyak air terutama air masak sememangnya amalan hidup yang sihat. Namun demikian keinginan untuk minum air masak ketika awal kehamilan biasanya hilang dalam kalangan ibu hamil. Bahkan ada yang akan termuntah atau langsung tidak boleh menelan air masak tersebut. Jangan risau tentang hal ini kerana ia akan kembali normal sebaik melepas fasa alahan. Sebaiknya minum air dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.

2. Elakkan makan dalam kuantiti yang banyak
Ada kalangan ibu hamil akan hilang selera makan tetapi ada pula yang semakin menjadi-jadi selera makannya. Tidak kira sama ada anda berada dalam kategori hilang selera makan atau semakin berselera, anda perlu amalkan pemakanan yang sihat dan makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Ia juga bagi membolehkan makanan mudah dihadam dan menghindarkan bakal mama daripada berasa mengah.

3. Amalkan minum teh halia
Rasa halia yang pedas dan hangat dapat mengurangkan rasa mual dan loya yang dialami oleh ibu hamil. Anda boleh minum teh yang dicampur hirisan halia atau air suam dicampur halia bagi melegakan rasa loya.

4. Elakkan Bangun Atau pergerakan Mengejut
Apabila hendak bangun daripada tidur, elakkan daripada bangun secara mengejut. Sebaiknya berbaring seketika bagi mengelakkan kepala berasa pening. Begitu juga ketika sedang duduk, jangan terus bangun mendadak dan melakukan aktiviti lain.

5. Rajin berjalan kaki
Jangan jadikan alasan loya dan mual di awal mengandung untuk malas berjalan kaki. Tahukah ibu, dengan melakukan rutin berjalan kaki anda dapat mengurangkan rasa mual dan loya. Bahkan senaman berjalan kaki juga bagus untuk melancarkan peredaran darah dalam badan.

6. Makan Sedikit Tetapi Kerap
Sentiasa ada bekalan makanan ringkas dan sihat di dalam handbag atau kereta. Biskut tawar, buah-buahan adalah pilihan yang bijak.


Sumber Asal : PamaPedia