Pasangan merpati dua sejoli, Don Daniyal Don Biyajid dan Husna Mohd. Zahry sudah empat tahun hidup bersama. Hasil perkongsian hidup mereka berdua, pasangan ini dikurniakan dengan dua orang putera comel. Don Mustofa dan Don Ibrohim adalah tanda cinta serta terjemahan cinta dan kasih suci antara keduanya.

Ditanya tentang cara didikan anak-anak, Ustaz Don tidak lokek berkongsi ‘resipi’ yang diamalkannya. Bagi Ustaz Don, amalan yang baik seharusnya dikongsi agar mendapat manfaat.

Saya kongsi serba sedikit amalan yang saya terapkan pada anak-anak, ujar Ustaz Don :

  1. Selalunya setiap kali saya solat, anak-anak akan ada bersama saya. Dengan keberadaan mereka, secara tidak langsung, saya dapat mendidik anak-anak tentang solat. 
  2. Azan mesti diperdengarkan sama ada di kaca televisyen mahupun kita sendiri yang mengazankan.
  3. Begitu juga dengan Qasidah. Kerap didengarkan kepada anak-anak. 
  4. Jika anak-anak gemar menyanyi, biarkan. Dengan cara ini mereka dapat mengenal huruf. 
  5. Perkara paling penting ialah dari segi kebersihan. Kedua anak-anak saya mandikan sendiri sejak mereka masih bayi lagi. Saya mengelakkan daripada menggunakan tisu basah setiap kali ingin membersihkan kotoran pada anak-anak. Bagi saya, lebih afdal menggunakan air kerana lebih terjamin kebersihannya. Apabila kita menjaga kebersihan nescaya terhindarlah kita daripada gangguan syaitan. 


Sempat juga penulis melontarkan pandangan Husna mengenai suaminya. Sebagai insan yang paling dekat dengan Ustaz Don tentu sekali ramai yang ingin tahu tentang Ustaz Don di mata isterinya.

“Ustaz Don seorang suami dan bapa penyayang. Namun dalam masa yang sama dia seorang yang tegas dan pandai memujuk anak-anaknya. Dari segi menguruskan anak-anak dia memang pakar. Malah dia tidak pernah kekok menguruskan anak-anak meskipun masih bayi seperti menukar lampin dan memandikan mereka. Sebab itulah ketika saya keluar bekerja, saya tidak pernah risau meninggalkan anak-anak bersama suami. Hal ini kerana saya tahu suami boleh menguruskan anak-anak dengan baik,” ungkap Husna, jujur.

Dalam perkembangan lain, selain bertugas sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Ustaz Don juga aktif dengan perniagaan jenama pakaiannya, Don Donna Clothing. Di kesempatan ini juga Ustaz Don ingin memperjelaskan bahawa beliau tiada sebarang akaun Instagram mahupun Twitter.

Akui Ustaz Don, akaun yang ada adalah akaun palsu. Beliau hanya ada akaun facebook peribadi atas nama Daniyal Biyajid. Selain itu akaun facebook rasmi yang berkaitan dengan Ustaz Don ialah Ustaz Don Daniyal Don Biyajid: Solat & Selawat dan Kuiscell serta akaun rasmi Instagram iaitu 30 Minit Ustaz Don.

Sumber Asal : MingguWanita