Anak Tercekik ! 4 Langkah Anda Wajib Tahu !


Siapa tak panik bila tiba-tiba anak tercekik! Apatah lagi kalau dia si kecil yang berusia bawah enam tahun. "Eh, tahu ke apa nak buat"?

Sebenarnya bila bergelar ibu bapa, anda wajib tahu bantuan kecemasan jika berlaku situasi yang tidak diduga kepada anak anda.

Masalah tercekik di kalangan bayi dan kanak-kanak memang kerap berlaku. Ia berlaku apabila suatu objek kecil atau cebisan makanan tersekat di dalam trakea, menyebabkan suatu serangan batuk.  Penting bagi  anda mengeluarkan benda itu dengan cepat supaya anak anda dapat bernafas dengan sempurna semula.

Tercekik merupakan perkara biasa di kalangan kanak-kanak kecil yang cenderung memasukkan semua benda yang dipegang ke dalam mulut. Mereka juga mungkin mendapati sukar untuk menelan makanan kering dan rapuh. Oleh itu elakkan makanan ini jika boleh.

Jika anda berhadapan dengan situasi anak tercekik, lakukan perkara berikut.

1.  Duduk atau berlutut di atas satu lutut dan tiarapkan anak anda di atas lutut anda, dalam keadaan kepalanya tergantung ke bawah. Sokong dadanya dengan sebelah tangan dan tepuk  bahagian di antara tulang belikatnya beberapa kali.

2.  Jika ini gagal mengeluarkan halangan, masukkan jari anda ke dalam mulut anak anda dan cuba kais benda itu dari belakang kerongkongnya. Berhati-hati supaya anda tidak tertolak apa-apa lebih jauh lagi ke dalam kerongkongnya.

3.  Jika dia masih tersedak, dudukkannya di atas riba anda dalam keadaan menghadap ke hadapan. Sokong belakangnya dengan sebelah tangan dan genggam tangan anda yang sebelah lagi dalam keadaan ibu jarinya ke dalam, pada bahagian tengah di antara pusatnya dengan bentuk V di bawah tulang rusuknya. Tekan dengan kuat ke dalam dan ke atas hingga sebanyak empat kali.

4.  Jika anak anda tidak mula bernafas seperti biasa setelah halangan dikeluarkan, lakukan bantuan pernafasan.

Bantuan kecemasan ini mampu menyelamatkan nyawa anak anda! Belajarlah segera bantuan kecemasan jika anda masih belum mengetahuinya.

Comments