Bukan hanya makanan atau produk penjagaan kulit sahaja yang ada tarikh jangka hayatnya tetapi botol susu yang digunakan setiap hari oleh anak anda juga perlu kerap ditukar.

Walaupun terdapat banyak jenama botol susu di pasaran yang mendakwa botol susu keluaran mereka berkualiti dan selamat untuk bayi tetap ia tetap tidak boleh digunakan melebihi tempoh enam bulan.

Tidak kira sama ada anda membeli botol susu yang mahal harganya, dijamin berkualiti dan bebas BPA namun anda tetap perlu memastikan jangka hayat botol tersebut tidak melebih had sepatutnya.

Ini kerana botol yang si kecil gunakan untuk minum susu mungkin juga boleh menyebabkan kepada jangkitan kuman dan masalah kesihatan kepadanya kesan daripada kesilapan semasa proses pembersihan dan penyelenggaraannya.

Bukan hanya puting botol sahaja yang mesti ditukar tetapi botol susu juga perlu kerap ditukar. Jangka hayat bagi botol susu yang bebas BPA adalah antara tiga hingga enam bulan. Berikut adalah sebab-sebab yang memerlukan botol susu bayi ditukar kepada yang baru.


1. Penggunaan Sabun Pencuci

  • Sudah tentu kita membasuh botol susu anak menggunakan sabun pencuci. 
  • Walaupun menggunakan sabun khas untuk mencuci botol susu anak sahaja dan dikatakan organik tetapi lama kelamaan pasti akan ada juga kesan penggunaan sabun pencuci tersebut sebab itulah botol susu anak perlu ada jangka hayat penggunaannya.


2. Kesan Calar

  • Akibat terlalu kerap dibasuh, sudah tentu botol susu anak akan berisiko untuk mengalami calar. 
  • Sebarang botol susu yang sudah calar, tidak selamat digunakan lagi kerana ia berisiko menyebabkan kerosakan botol dan tidak selamat digunakan oleh bayi sebab ada pembebasan toksik dan bahan kimia.


3. Kesan Pensterilan

  • Proses pensterilan memang bagus untuk membunuh kuman yang membiak di botol susu anak tetapi terlalu kerap mensteril boleh memberi kesan kepada ketahanan jangka hayat botol susu tersebut. 
  • Jadi pastikan anda kerap menukar botol susu anak untuk memastikan ia terus selamat digunakan.


4. Bertukar Warna

  • Jangan terlalu mengikut kehendak anak yang enggan menukar botol susunya kepada botol yang baru. 
  • Alasan anak enggan minum susu dalam botol lain tidak boleh digunakan kerana jika botol susu anak sudah bertukar warna menjadi kekuning-kuningan, anda memang wajib menukar botolnya.


5. Kesan Bau

  • Pernah tak anda sendiri rasa hendak termuntah apabila terhidu bau botol susu anak? 
  • Kalau ya, memang anda perlu membeli botol susu baru untuknya. 
  • Itu tanda botol itu sudah tidak selamat dan sihat hendak digunakan oleh anak.


Bagi mengelakkan masalah terlupa bila tarikh sepatutnya menukar botol susu anak, maka gunakanlah kaedah kreatif masing-masing untuk membuat 'reminder'. Ia nampak seperti perkara remeh tetapi memainkan peranan penting untuk menjaga kesihatan dan keselamatan si manja anda.

Sumber Asal :Pa&Ma