1.Makan hanya apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang. 

Dalam satu hadis ada disebut ” Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali bila merasa lapar dan apabila kami makan, maka tidak sampai sekenyang-kenyangnya” (ketika menolak tawaran untuk diberikan tabib atau doktor oleh Raja Mesir ketika itu).

2.Satu pertiga bahagian daripada perut adalah untuk makanan.

Rasulullah saw, telah mengajar cara untuk makan dan minum dengan membahagikan perut kepada tiga bahagian; iaitu sepertiga bahagian perut untuk makanan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga akhir adalah  untuk udara (nafas).

3.Banyakkan Berpuasa

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: ” .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat (Hadis Riwayat Tabrani). Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).”

Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara;
1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan.
2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha.
3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim)

4. Memperbanyakkan sembahyang

Dalam hadis ada disebut “Sembahyanglah,nescaya sihatlah kamu. Sembahyang boleh menguatkan dan menyihatkan tubuh badan, kerana pada zahirnya, dalam ibadah sembahyang itu terdapat banyak pergerakan,  seperti berdiri, rukuk dan sujud.

Sembahyang berdiri adalah sembahyang yang mempunyai banyak pergerakan berbanding dengan sembahyang duduk atau sembahyang dalam keadaan tidur (baring), selain dari mempunyai pergerakan yang banyak yang lebih menyihatkan badan, sembahyang berdiri juga diberi ganjaran pahala yang lebih. 

Ada orang yang menjaga kesihatannya tanpa berjogging hanya dengan melakukan  sembahyang 70 rakaat sunat pada setiap hari.

Terdapat banyak sembahyang sunat yang boleh dilakukan, misalnya :

  1. 12 rakaat sunat Rawatib, 
  2. 12 rakaat sunat Duha, 
  3. 8 rakaat sunat Tahajjud, 
  4. 6 rakaat sunat Awwabin (selepas Maghrib), 
  5. 3 rakaat Witir. 
  6. Selain itu boleh juga dilakukan sembahyang sunat selepas berwuduk, memasuki masjid atau sembahyang sunat mutlak (yang semata-mata kerana Allah tanpa ada sebab atau mengikut waktu)


5.Sembahyang atau berzikir selepas makan

Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Hadamkanlah makanan dengan berzikir kepada Allah dan sembahyang, janganlah kamu tidur dengan kekenyangan, kerana ia boleh menyebabkan hati kamu menjadi keras (degil). 

Berzikir dapat membantu menghadamkan makanan, kerana ketika  berzikir ada pergerakan seperti menggoyangkan badan dan kepala, Selain dari berzikir, sembahyang juga membantu menghadamkan makanan kerana ketika sembahyang banyak pergerakan dilakukan seperti berdiri, rukuk, sujud.

6. Berjalan kaki selepas Asar

Amalan ini juga dilakukan oleh jemaah tabligh ketika menyebarkan dakwah . Penyebaran dakwah secara berjalan ini ada disebut di dalam hadis yang bunyinya lebih kurang “tidak ada satu rumah pun di Madinah yang aku tidak ketuk pintunya”.

7. Makan buah-buahan sebelum makan.

Makan buah-buahan yang ringan sebelum memakan makanan yang berat memudahkan proses penghadaman yang berlaku di dalam perut.

8. Makan malam sebelum Maghrib.

Adalah menjadi kebiasaan orang Arab terdahulu, mereka makan malam sebelum jatuh matahari atau  sebelum gelap.  Cara begini akan memberikan masa yang mencukupi untuk makanan menjadi hadham sebelum sampainya waktu tidur mereka, dan dengan cara ini juga boleh mengelakkan seseorang itu menjadi keras hati.