Ramai beranggapan tidur sebentar pada waktu siang adalah tabiat buruk atau dikaitkan dengan sikap malas, sedangkan tabiat lelapkan mata seketika iaitu sekitar 15 minit hingga ke 30 minit boleh mengembalikan kecergasan jasmani dan mental sebelum menyambung semula rutin harian.

National Sleep Foundation Amerika Syarikat menggalakkan amalan tidur sedemikian yang dipraktikkan beberapa tokoh negara itu seperti John F Kennedy, Ronald Reagan, Albert Einstein, Thomas Edison dan George W Bush selain Napoleon.

Organisasi berkenaan menyarankan tidur bagi tempoh singkat pada waktu siang kerana ia membantu mempertingkatkan mood baik, fokus dan prestasi harian individu berkenaan.

Meskipun dalam kajian saintifik menyenaraikan manusia tergolong dalam kumpulan mamalia yang mengamalkan pola tidur monofasa iaitu hanya tidur pada sebelah malam berbanding beberapa kali tempoh lelap yang menjadi amalan 85 peratus spesies mamalia lain.

Namun, melihat pada situasi hari ini iaitu gaya hidup masyarakat yang kian sibuk membuatkan kualiti tidur terjejas hingga mempengaruhi kesihatan dan prestasi harian mereka.

Malah, sebilangan besar individu mempunyai dua hingga tiga pekerjaan sehari selain mereka terbabit dalam industri berat ataupun tempoh bekerja lebih sembilan jam.

Maka, dengan memperuntukkan masa untuk tidur sekejap itu, mereka dapat mengelak risiko kemalangan akibat keletihan atau tidur tidak mencukupi.

Kebelakangan ini, makin banyak berlaku kes kemalangan disebabkan mangsa terlelap seketika sewaktu bekerja atau memandu. Keadaan ini dipanggil ‘tidur mikro’ dan ia biasanya berlaku pada orang yang memandu dalam jarak jauh, ditambah faktor lain seperti waktu pemanduan, keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya serta keadaan cuaca boleh mengundang rasa mengantuk.

Keadaan ketika itu juga dipanggil ‘shut down’ kerana segala input daripada deria penglihatan dan pende­ngaran sudah tidak dapat diproses otak meskipun dalam keadaan mata terbuka.

Malah sebelum ini, Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Dr S Ravih pernah menerangkan kepada Bernama mengenai tidur mikro boleh terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan tertidur selama beberapa saat, walaupun mata anda terbuka dan tangan memegang stereng.

“Jangan paksa diri untuk terus memandu dalam ke­adaan badan letih dan mata mengantuk. Berhentilah di mana-mana tempat selamat dan lelapkan mata sebentar. Lima minit pun cukup atau berhenti setiap dua atau tiga jam jika pemanduan jarak jauh,” katanya.

Justeru amalan tidur seketika pada waktu siang boleh memberi manfaat kepada kualiti hidup pengamalnya.

Dalam kajian dijalankan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) terhadap juruterbang tentera yang mengantuk dan angkasawan, mendapati bahawa tidur selama 40 minit mempertingkatkan prestasi sebanyak 34 peratus selain daya fokus sehingga 100 peratus.


Beberapa tip dapat tidur siang yang berkualiti

Tidur singkat biasa­nya disyorkan 20 hingga 30 minit. Tidur dalam tempoh ini mengelakkan rasa pening dan pada masa sama tidak mengganggu tidur malam anda.

Pastikan tempat tidur selesa dan menenangkan.

Ini merujuk ruang yang tidak bising selain tidak terlalu terang.

Pastikan tempoh anda tidur itu tidak terlalu awal ataupun terlalu lewat kerana dikhuatiri menjejaskan kualiti tidur yang sihat.


Amalan tidur singkat boleh dibezakan kepada tiga jenis iaitu

Tidur Singkat Terancang - yakni menutup mata sebelum rasa mengantuk. Teknik ini biasanya diguna apabila individu berkenaan perlu bangun lebih awal daripada kebiasaan dan biasa­nya untuk elak rasa letih pada tempoh berikutnya.

Tidur Singkat Kecemasan - biasanya terjadi apabila individu tiba-tiba rasa keletihan keterlaluan dan tidak dapat meneruskan aktiviti yang sedang dilakukan ketika itu. Biasanya sering dilakukan pemandu dalam perjalanan jauh atau mereka yang bekerja dalam syif atau industri berat termasuklah ketika mengendalikan mesin berbahaya.

Tabiat Tidur Singkat - ­biasanya individu yang kerap lelap pada waktu sama setiap hari. Contohnya, kanak-kanak yang masih kecil tidur pada waktu tengah hari atau golongan dewasa yang lelap seketika selepas menikmati makan tengah hari.

Sumber : Harian Metro