Kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun tidak boleh dibenarkan menghadap skrin elektronik lebih 1 jam dalam sehari, dan bayi berusia kurang 1 tahun tidak boleh didedahkan sama sekali, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Dalam satu garis panduan pertama seumpamanya, agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, kanak-kanak bawah usia 5 tahun patut aktif melakukan kegiatan fizikal dan mendapat tidur secukupnya bagi memupuk tabiat baik sepanjang hayat dan mengelakkan kegemukan serta penyakit lain pada umur lebih dewasa.

Menghadap skrin elektronik termasuklah menonton televisyen atau video dan main permainan komputer.

Aktiviti fizikal yang sihat, tingkah laku tidak aktif dan tabiat tidur ditetapkan pada usia awal, dan boleh membentuk tabiat di masa kanak-kanak, remaja dan dewasa, kata WHO kepada negara anggota.
Kanak-kanak antara usia 1 hingga 4 tahun patut meluangkan masa sekurang-kurangnya 3 jam dalam pelbagai jenis aktiviti fizikal sepanjang hari, katanya.
Bayi berusia 1 tahun pula patut berinteraksi dengan permainan lantai dan mengelakkan semua jenis skrin, katanya.

Tingkah laku tidak aktif merupakan faktor risiko kematian dan menyebabkan peningkatan kes kegemukan di serata dunia, kata WHO.

Dalam laporannya 2 tahun lalu WHO berkata, bilangan kanak-kanak dan remaja gemuk di serata dunia melonjak 10 kali ganda kepada 120 juta dalam tempoh 40 tahun lalu, dan peningkatan itu berlaku lebih cepat di negara berpendapatan rendah dan sederhana, terutamanya di Asia.

Berat badan melampau boleh membawa kepada pelbagai penyakit, termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan beberapa jenis kanser, katanya.

Usia awal kanak-kanak merupakan tempoh perkembangan fizikal dan kognitif yang cepat, bila tabiat terbentuk dan rutin gaya hidup keluarganya dipelajari, kata garis panduan itu berdasarkan ratusan kajian, kebanyakannya dari Australia, Kanada, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

“Tingkah laku tidak aktif, sama ada menggunakan kenderaan bermotor dan tidak berjalan atau berbasikal, duduk di meja ketika di sekolah, menonton televisyen atau bermain permainan yang tidak aktif berasaskan skrin semakin tersebar luas dan dikaitkan dengan hasil kesihatan yang tidak baik,” kata WHO.

Tidur yang tidak mencukupi dalam kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan peningkatan lemak berlebihan yang diukur mengikut indeks jisim tubuh (BMI), katanya.

Tempoh tidur yang sedikit berkait dengan tempoh menonton TV dan bermain permainan komputer yang lebih banyak, katanya.

“Menambah baik aktiviti fizikal, tingkah laku tidak aktif dan masa tidur kanak-kanak akan menyumbang kepada kesihatan mereka, mengurangkan risiko kegemukan pada masa kanak-kanak dan penyakit tidak berjangkit berkaitan pada umur lebih dewasa. Ia juga meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup,” kata WHO.