FMT | Pernahkah anda mendengar mengenai Okinawa? Jika anda mengikuti sejarah Perang Dunia ke-2, tentu anda biasa dengan pertempuran Okinawa (battle of Okinawa) yang sebahagiannya dilakonkan semula di dalam sebuah filem bertajuk Hacksaw Ridge.

Kita tidak ingin bercakap mengenai perang tetapi berkenaan satu fakta yang sangat menarik di tempat ini. Okinawa adalah sebuah pulau yang terletak di Kepulauan Ryukyu, Jepun. Ia dikatakan sebagai kawasan dengan jangka hayat paling tinggi di dunia.

Purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 75 tahun manakala Jepun ialah 84 tahun dan penduduk Okinawa berumur lebih 100 tahun dan 5 kali ganda lebih banyak berbanding kawasan lain di Jepun.


Okinawa diet

Gaya hidup dan pemakanan penduduk di pulau ini sudah lama diperhatikan serta dikaji memandangkan jangka hayat mereka sentiasa mendahului kawasan lain di dunia. Apakah sebenarnya rahsia mereka?

Pemakanan atau diet adalah antara faktor utama. Lalu, apakah yang mereka makan?

Tiada yang begitu mengejutkan seperti buah-buahan syurga mahupun air sakti. Apa yang diamalkan oleh penduduk Okinawa adalah perkara asas. Okinawa diet bercirikan:

  1. Melebihkan makanan kaya dengan sayur-sayuran berwarna kuning, oren dan hijau.
  2. Nasi yang menjadi makanan ruji masyarakat Jepun diganti dengan ubi keledek ungu.
  3. Daging, produk tenusu dan makanan laut diambil dalam jumlah yang kecil.
  4. Memperbanyakkan pengambilan soya dan kekacang.
  5. Seluruh pemakanannya secara am adalah rendah gula dan gandum – penduduk Okinawa mengambil kurang 30% gula dan kurang 15% gandum berbanding penduduk Jepun yang lain.


Berhenti sebelum perut penuh – Hara Hachi Bu

Di samping Okinawa diet, salah satu budaya penting yang diamalkan oleh penduduk pulau ini adalah untuk berhenti makan awal. Peribahasa hara hachi bu membawa maksud agar berhenti makan apabila perut sudah 80% penuh.

Mereka secara amnya mengambil 1,200 kalori sehari berbanding penduduk di negara lain yang kebiasaannya mengambil 2,000 kalori sehari. Walaupun jumlah kalori yang diambil adalah rendah, diet mereka dipenuhi dengan makanan berkhasiat serta bernutrisi tinggi.

Mereka juga sudah membiasakan diri untuk berlapar. Sebab itu mereka masih boleh kekal sihat dan hidup lebih lama walaupun mengambil sedikit kalori.

Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada penduduk Okinawa. Ayuh ambil masa dan mula merancang diet anda hari ini!

Artikel ini diterbitkan oleh Hello Health Group dan pihaknya tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.