Kajian terbaharu yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Hospices Civils de Lyon di Perancis mendapati aplikasi permainan dari peranti canggih seperti iPad membantu dalam proses menenangkan kanak-kanak sebelum mereka menjalani pembedahan.
Rasa tenang yang diperoleh daripada permainan tersebut adalah sama seperti rasa tenang apabila diberi dadah atau sedatif.
Kajian tersebut dijalankan ke atas 112 orang kanak-kanak berusia empat hingga 10 tahun yang perlu menjalani pembedahan dengan segera di hospital tersebut.

Menurut ketua penyelidik, Dr. Dominique Chassard, pihaknya membenarkan kanak-kanak bermain permainan komputer 20 minit sebelum memasuki bilik pembedahan dan mendapati mereka lebih tenang dan kurang gelisah untuk menjalani pembedahan tersebut.

Ibu bapa dan jururawat rata-ratanya berasa amat gembira dan teruja dengan penemuan terbaharu itu dan menambah bahawa permainan tersebut mungkin telah mengelakkan kanak-kanak daripada beterus-terusan memikirkan tentang pembedahan yang perlu mereka jalani.