Sepanjang Ramadan, pasti kita mahu berpuasa dengan lancar tanpa ada halangan yang boleh menjejaskan ibadat ini. Namun, dugaan paling umum ketika berpuasa adalah rasa lapar di siang hari.

Bagi menghindari rasa lapar ketika berpuasa digalakkan mengambil makanan sihat dengan kandungan serat tinggi ketika bersahur. Ini kerana, makanan berkenaan membuat kenyang lebih lama akan menjadikan perut tahan lapar, di samping proses pencernaan pada usus juga menjadi lebih sihat kerana makanan kaya serat.

Mengambil pelbagai jenis kacang ketika bersahur amat baik dalam menjalani ibadat puasa dengan sempurna. Ini kerana, kandungan protein kacang membuat kita berasa kenyang lebih lama, sekali gus mengawal keinginan untuk makan.

Selain itu, kekacang juga mengandungi bahan antioksidan, vitamin, zink, zat besi, kalsium, potasium dan magnesium yang diperlukan tubuh.

Malah, dikatakan mereka yang mengambil makanan kekacang ketika bersahur cenderung menahan lapar 31 peratus lebih lama berbanding yang tidak mengambilnya.

Namun, segelintir masyarakat Islam di negara ini tidak menyedari manfaat kekacang sebagai makanan yang mendatangkan rasa kenyang dan menyihatkan serta dapat membantu ibadat puasa berlangsung dengan lancar.

Ini kerana, budaya pengambilan nasi bersama lauk-pauk seperti ayam, daging dan makanan laut ketika bersahur yang diamalkan sejak sekian lama dikatakan mampu mengenyangkan sepanjang berpuasa.

Setiap kekacang mempunyai khasiat untuk kesihatan. Kandungan kekacang yang padat dengan protein, serat, lemak penting, vitamin dan mineral juga memberikan tenaga mencukupi untuk tubuh.

Misalnya, badam kaya dengan kalsium dan pilihan terbaik bagi memastikan kita mendapat mineral penting untuk tulang. Badam juga tinggi dengan vitamin E iaitu nutrien yang baik untuk kulit dan kandungan flavonoid dalam badam membantu melindungi jantung.

Kacang pecan pula baik untuk jantung kerana padat dengan sterol tumbuhan iaitu sebatian penting yang cekap menurunkan tahap kolesterol. Kacang ini tinggi antioksidan mencegah pembentukan plak yang menyempitkan arteri.

Ketika berpuasa digalakkan mengambil kacang pecan kerana ia sumber vitamin B3 yang sempurna bagi mengatasi keletihan kerana vitamin ini membantu mengakses tenaga dalam makanan kita.

Kacang gajus juga menyumbang protein yang banyak dan sumber penting mineral seperti zat besi dan zink termasuk magnesium yang baik untuk meningkatkan memori.

Biji chia membantu mengurangkan rasa lapar dengan menghalang penyerapan sebahagian kalori ke dalam sistem badan serta menyerap lebih banyak air.

Biji chia juga bermanfaat kepada penghidap diabetes kerana makanan ini memperlahankan proses penukaran karbohidrat kepada gula ringkas, di samping mengawal gula darah.