Wanita hamil di Mexico dilarang memandang bulan mengambang hinggalah wanita Mesir tidak boleh melihat arnab ia menggambarkan pantang larang pelik yang masih diamalkan sesetengah wanita hamil di seluruh dunia pada zaman moden ini.

Melihat arnab ketika hamil dipercayai boleh menyebabkan anak yang dikandung dilahirkan dengan gigi besar, mengikut kepercayaan masyarakat Arab. Manakala memandang bulan pula dikaitkan dengan sifat cemburu dan boleh menyebabkan bayi sumbing.
“Dalam kepercayaan lama masyarakat Mexico, anda tidak boleh terdedah kepada cahaya bulan mengambang ketika hamil kerana bulan cemburukan anda dan akan menyumpah anak anda.
“Untuk itu, anda perlu memakai rantai leher yang dibuat daripada perak sebagai perlindungan,” kata satu sumber.
Berbeza dengan di Hawaii, wanita mengandung tidak dibenarkan memakai rantai leher kerana dipercayai akan menyebabkan bayi terjerut dengan tali pusatnya.

Bagi wanita Australia, mereka diberikan senarai makanan yang perlu dihindari bagi memastikan tahap kesihatan bayi yang dikandung berada dalam keadaan baik. Tetapi, wanita hamil di negara lain ditegah memakan beberapa jenis makanan atas sebab tertentu.
“Saya menetap di Mesir. Kami dilarang mengambil minuman bergas, kerana dipercayai tulang bayi yang dilahirkan akan rapuh dan saya pula, osteoporosis,” kata seorang wanita.
Seorang lagi wanita Vietnam keturunan Cina memberitahu, budayanya mempercayai wanita mengandung tidak boleh makan daging kambing kerana dibimbangi bayi akan menghidap sawan.
Bukan itu saja, kepercayaan ini juga berterusan sehingga selepas kelahiran.
“Selepas melahirkan bayi, anda tidak boleh bangun dari katil sehingga sebulan.
“Tidak boleh makan daging lembu, buah, sayuran mentah. Secara keseluruhan, semuanya tidak boleh makan.” katanya.
Seorang lagi wanita berkata:
“Seorang rakan saya dari Mexico memberitahu, ketika anda hamil, anda perlu makan apa saja yang anda inginkan. Jika anda terasa hendak makan kek, sebagai contoh, tetapi anda mengelak memakannya, bayi yang dilahirkan akan mempunyai muka seperti kek.”
Sementara di India, wanita mengandung tidak boleh menyentuh objek besi ketika gerhana matahari atau bulan.
“Apabila berlaku gerhana, semua barangan besi akan ditutup dan wanita mengandung tidak boleh melakukan apa-apa yang membabitkan benda tajam.
“Dipercayai, apa saja yang dilakukan dengan objek tajam oleh wanita mengandung ketika gerhana berlaku, ia akan mencederakan bayi. Sebagai contoh, jika menjahit, bayi akan melekat. Jika memotong dengan pisau, bayi yang dilahirkan akan luka-luka.”
Seorang lelaki Kanada memberitahu, isterinya dimaklumkan oleh seorang rakan dari Filipina supaya tidak meletakkan tangan di kepala ketika hamil kerana ia akan menyebabkan bayi dalam kandungan terbelit dengan tali pusatnya.

Seorang wanita Korea berkata, dia diberitahu ibunya supaya mengelak minuman sejuk. Malah menyentuhnya juga tidak boleh.

Bagi masyarakat Mexico, wanita yang hamil dilarang mendekati mayat kerana percaya roh yang sudah mati dan yang akan dilahirkan tidak boleh berada dekat antara satu sama lain.

Dalam kalangan masyarakat Arab pula, wanita hamil dikatakan tidak boleh menggaru kerana bimbang bayi yang keluar akan mempunyai tanda lahir.