Vanila merupakan rempah tertua dan termahal yang mempunyai khasiat mujarab kepada kesihatan tubuh badan. Mungkin selama ini, ia lebih dikenali sebagai penyedap makanan dan bersifat aromatik sehingga kita terlupa keistimewaan dan fungsinya terhadap tubuh terutama dalam memerangi penyakit berbahaya seperti kanser.
 
ASAL USUL:
Vanila merupakan bahan perasa yang berasal dari spesis orkid gen Vanila. Secara etimologinya, vanila diambil daripada perkataan Sepanyol yang bermaksud little pod (kulit keras yang berisi kekacang).

Vanila pertama kali ditanam oleh orang-orang Totonac yang mendiami Lembah Mazatlan di Pantai Teluk Mexico yang kini dikenali sebagai Veracruz. Seterusnya tanaman ini diusahakan oleh masyarakat Mesoamerika Pra-Columbus dan seorang pembesar Sepanyol bernama Hernaní Cortes bertanggungjawab memperkenalkan vanila dan coklat ke benua Eropah pada tahun 1520an.

Terdapat tiga kultivar vanila yang utama tumbuh di seluruh dunia di mana salah satu daripada subspesisnya iaitu Vanilla planifolia (syn.V. fragrans) tumbuh di Madagascar, Reunion dan di kawasan tropika sepanjang Lautan Hindi.
 
KEGUNAAN:
Vanila merupakan bahan perasa atau rempah kedua termahal selepas saffron. Ini kerana tenaga kerja yang ramai diperlukan untuk menumbuhkan benihnya. Biarpun sukar, tetapi rasanya amat bernilai dan ia sangat berbaloi! Justeru tidak hairanlah jika penulis buku The Book of Spices, Frederic Rosengarten, Jr mengambarkan vanila sebagai asli, berempah dan lembut. Ia juga mempunyai aroma bunga-bungaan yang harum.

Walaupun penanamannya memerlukan kos yang tinggi, vanila banyak digunakan secara komersial dalam pembuatan bahan perasa untuk membuat aneka makanan dan minuman juga dalam industri kosmetik serta perubatan dengan terciptanya minyak wangi dan minyak aromaterapi. Untuk itu, vanila diproses menjadi ekstrak, esen, serbuk dan minyak.

Dalam bidang kulinari misalnya, vanila banyak digunakan dalam pembuatan ais krim. Selain itu juga ia turut dijadikan sebagai penambah perisa untuk coklat, kastard, karamel, kopi dan sebagainya. Dalam industri kosmetik, ekstrak vanila dijadikan sebagai minyak wangi dan bagi kegunaan perubatan pula, minyak esential vanila ada kalanya digunakan dalam minyak aromaterapi.
 
KHASIAT:
Vanila mempunyai khasiat tersendiri dan tentunya ia sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia. Antara khasiatnya ialah:

  • Berupaya mencegah penyakit kanser.
  • Ekstrak minyak vanila digunakan untuk meningkatkan sistem pencernaan.
  • Minyak vanila digunakan untuk menggurangkan demam dan membantu memerangi jangkitan dalaman.
  • Ia juga berupaya Ia juga berupaya mencegah kehilangan memori.
  • Digunakan sebagai ubat terapi untuk mengurangkan tekanan, kegelisahan dan kemurungan.
  • Membantu dalam menyembuhkan hampir semua penyakit radang dan hiperaktif pada sistem pernafasan, sistem peredaran darah, sistem pencernaan dan sistem saraf.
  • Mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh demam dan kejang.
  • Juga berfungsi untuk menetapkan haid yang tidak teratur.
  • Boleh merawat batuk dan masalah sinus.


sumber : karangkraf