Pengamal diet sayur-sayuran dipercayai terhindar daripada penyakit kardiovaskular terutamanya serangan sakit jantung.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan di Universiti Oxford, England, jumlah kematian akibat penyakit jantung dalam kalangan vegetarian adalah 32 peratus lebih rendah berbanding bukan vegetarian.

“Diet berasaskan sayur-sayuran menggalakkan pengamal pola pemakanan itu mengurangkan pengambilan lemak tepu dan sodium dalam diet harian mereka.

“Ini secara tidak langsung menjaga tahap kolesterol dan tekanan darah sekali gus menghindarkan daripada penyakit jantung,” kata Pengarah Bahagian Perubatan Kardiovaskular di Universiti Ohio State, Dr. William Abraham.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition itu dijalankan ke atas 44,561 responden di sekitar England dan Scotland.