Mulai 1 Januari ini, larangan merokok di semua restoran dan premis makanan dikuatkuasakan yang bertujuan menjaga kepentingan kesihatan perokok dan juga pelanggan lain.

Maka bertambah lagi ‘seksa’ hidup perokok walaupun mereka sendiri yang memilih jalan tersebut. Semua orang tahu yang rokok boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit terutama berkaitan paru-paru, saluran darah dan sebagainya.

Kandungan rokok yang mempunyai nikotin, tar, sianida, benzena, metanol, amonia dan bermacam-macam bahan kimia beracun sudah tentu dengan mudah mengancam tubuh dan kesihatan perokok.

Perbuatan itu juga boleh dianggap sebagai ‘membunuh diri’ secara perlahan-lahan sehingga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 1995 memutuskan merokok adalah haram kerana boleh membawa kemudaratan, berbahaya dan membazir.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun disebabkan penya­kit yang mempunyai kaitan langsung dengan tabiat merokok.

Bagaimanapun tentu kita masih hairan mengapa masih ramai yang merokok walaupun pelbagai langkah dan amaran telah diambil oleh kerajaan. Jawapan mudah mereka: “Kami sudah ketagih.”

Ketagihan nikotin adalah punca utama mengapa sukarnya hendak berhenti merokok jika perbuatan itu sudah menjadi tabiat sejak sekian lama.

Maka kini, timbul pula satu lagi tabiat baharu yang mempunyai perbuatan hampir sama dengan merokok iaitu menghisap vape atau rokok elektronik (e-rokok) yang semakin digilai.

E-rokok atau vape merupakan trend baru menikmati nikotin tetapi ia tidak berasaskan pembakaran daun tembakau. Tetapi timbul persoalan pula, manakah lebih baik? Merokok, vaping (menghisap vape) atau e-rokok?.

Sebenarnya, kesan mana le­bih buruk antara rokok biasa dan e-rokok masih menjadi perbahasan besar antara para saintis di seluruh dunia kerana tiada kajian yang betul-betul komprehensif dijalankan setakat ini.

Banyak negara di Ero­pah dan Amerika Syarikat meng­anggap e-rokok lebih kurang memudaratkan berbanding ro­kok biasa dan mereka tidak mengharamkan penjualannya.

Di Malaysia, jualan e-rokok atau vape adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pendapat Malaysia mungkin dipengaruhi hasil kajian Dr. Nauki Kunugita dari National Institute of Public Health, Jepun yang melaporkan, satu rokok elektronik mempunyai 10 kali ganda karsinogen (kelompok zat yang merosakkan DNA, membantu kanser) berbanding sebatang rokok biasa.

Kajian oleh Prof. Madya Ana Maria Rule dari Sekolah Kesihatan Awam Bloomberg, Johns Hopkins turut mendedahkan terdapat kandungan arsenik, chromium, manganese dan nickel yang tinggi dihasilkan oleh e-rokok dan seterusnya boleh menjadi punca pelbagai penyakit.



© Utusan Melayu (M) Bhd