Kehadiran cahaya mata sememangnya satu perkara yang menggembirakan, namun ada pasangan bertengkar dengan lebih kerap pula. Ada sahaja perkara yang menimbulkan salah faham padahal isunya kecil sahaja!
Perkara ini sememangnya tidak sihat untuk hubungan suami isteri. Lama-kelamaan, tekanan ini akan memberi kesan buruk dalam keluarga sekiranya punca sebenar pasangan bertengkar tidak diketahui.
Kenapa Pasangan Bertengkar Lebih Kerap Selepas Mempunyai Anak? Ini 5 Sebabnya…
#1 Perbezaan Idea Membesarkan Anak
Kedua-dua ibu bapa dibesarkan dari keluarga yang berlainan, jadi normal sekiranya mereka mahu anak dibesarkan mengikut cara masing-masing. Seorang ibu mungkin lebih berhati-hati berkaitan perlakuan anaknya, si bapa pula lebih kepada asalkan anak itu tidak menangis, maksudnya anak itu okay!
Pertengkaran mungkin berlaku selepas pasangan tidak dapat memenuhi cara pasangannya. Perkara ini berlanjutan bagi semua perkara seperti mandikan anak, cara tidurkan anak, teguran untuk anak dan sebagainya.
Cara terbaik untuk berhadapan dengan masalah ini ada berbincang antara satu sama lain, dan menerima perbezaan pendapat.
#2 Agihan Tanggungjawab Yang Tidak Sama Rata
“Itu tanggungjawab ibu, bukannya bapa!”
Kita biasa dengar ungkapan ini, kan? Seolah-olah kerja menjaga bayi seperti memandikan bayi, tidurkan bayi dan menukar lampin bayi adalah tugas si ibu. Masalah timbul apabila kerja si ibu bertambah.
Manakala si bapa pula masih dengan rutin pergi dan balik kerja, malah bila tiba di rumah minta tidak diganggu pula waktu tidurnya. Bapa akan bermain dengan bayi apabila bayi sudah siap mandi dan makan.
Persepsi sebegini sebenarnya masih lagi berlaku dalam segelintir masyarakat kita. Anggapan ‘si ayah perlu bekerja mencari rezeki’ sahaja tidak boleh digunapakai sekiranya tiada penglibatan si bapa dalam menjaga anak.
Suami isteri harus bersama-sama dalam melayari kehidupan sebagai ibu bapa. Tanggungjawab bersama dapat membuatkan kita lebih memahami pasangan sekaligus mengurangkan pertengkaran. Malah bonding family juga lebih kuat!
#3 Kurang Masa Bersama
Apabila anak lahir, si isteri perlukan masa untuk pulih. Malah, ibu bapa juga lebih banyak meluangkan masa untuk melayan anak sehingga pasangan merasa tersisih.
Hal ini termasuklah perkara-perkara kecil seperti berpegangan tangan semasa berjalan kerana perlu mendukung anak.
Perubahan aktiviti ini sedikit sebanyak mempengaruhi pergaulan suami dan isteri, dan menyebabkan pasangan bertengkar! Harus diingat ini merupakan satu fasa dan akan berakhir suatu hari nanti.
Ada cara lain untuk pasangan bermesra, bukan berada di atas katil sahaja. Menikmati makan malam bersama, berpelukan semasa menonton tv semasa bayi tidur dan ciuman sebelum tidur juga boleh mengekalkan kasih sayang anda.
#4 Tidak Cukup Tidur
Apabila bayi lahir, rutin harian anda akan berubah. Bayi kerap terjaga kerana perlu disusukan dan ditukarkan lampin.
Ini terutamanya berlaku pada minggu-minggu terawal bersalin. Sudah tentu si ibu akan kurang tidur, dan penat apabila perlu menidurkan anak setiap 2-3 jam hanya untuk kembali dikejutkan semula!
Jadi suami haruslah faham dan membantu bila ada waktu terluang, atau mungkin mengambil alih tugas ibu pada hujung minggu. Ini kerana apabila si ibu terlalu penat, dia akan stress dan pergaduhan boleh berlaku.
#5 Menyesuaikan Diri Dengan Tanggungjawab Baru
“Saya tak biasa dengan semua ini, saya perlukan bantuan!”
Menjadi ibu bapa juga bermaksud membiasakan diri hidup berkeluarga. Banyak perkara yang akan berubah secara mendadak termasuklah penambahan tanggungjawab.
Ibu bapa terutama si ibu merasa teruja dan berdebar untuk melalui pengalaman baru seperti menjaga anak kecil, yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya. Dalam hal ini, si suami perlu sedar dan memberi sokongan moral kepada isteri. Jika tidak, isteri akan banyak memendam!
Walaupun sesetengah perkara di atas tidak boleh dielakkan, namun harus diingat inilah cabaran apabila mempunyai anak. Anggaplah anak itu sebagai penyeri yang akan mengikat hubungan anda berdua dengan lebih kuat.
Pesanan :
Bertolak ansur dan berbincang sedikit sebanyak boleh membantu anda mengurangkan tekanan dan mengelakkan pertengkaran. Jadilah pasangan yang berjaya mendidik anak dengan tenang dan mempunyai hubungan yang sihat. Selamat berjaya!
Sumber : TheAsianParent
0 Comments