Di sebalik kejayaan menduduki tempat ketiga Gegar Vaganza 5 (GV5), Zamani Ibrahim menanggung derita sakit tulang belakang bengkok atau skoliosis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lepas.

Menurut Zamani, dia berisiko lumpuh dan harus berkerusi roda walaupun setelah menjalani rawatan pembedahan seperti yang  dicadangkan doktor. Jika tidak dirawat, tahap kesihatan akan semakin buruk. Dalam keadaan sekarang, Zamani hanya bergantung terhadap ubat tahan sakit memandangkan penyakit berkenaan sudah tidak boleh pulih sepenuhnya.

Sebelum ini ramai yang menganggap skoliosis sebagai penyakit biasa dan tidak kronik. Selepas pendedahan Zamani, masyarakat mula menyedari penyakit ini dan kesannya jika tidak dirawat.

Apakah skoliosis? Skoliosis ialah istilah perubatan merujuk kepada keadaan tidak normal apabila tulang belakang seseorang membengkok ke kanan atau ke kiri atau boleh juga ia berpusing. Jika dilihat pada imbasan sinar x dari sudut hadapan, tulang belakang seorang pesakit skoliosis akan membentuk lebih kepada huruf ‘S’ atau pun ‘C’ berbanding bentuk lurus pada orang normal.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan Spinal Hospital Pakat KPJ Johor, Dr. Tan Kok Keong, tulang belakang membantu menyokong badan berkedudukan tegak. Setiap orang mempunyai bengkokan semula jadi yang mana sedikit daripada bengkokan itu diperlukan untuk mengimbangi kedudukan badan, bergerak dan berjalan dengan sempurna.

Skoliosis ditakrifkan sebagai keadaan kecacatan pada tulang belakang (tulang vertebra) seseorang yang bercirikan tulang belakang yang membengkok dan melengkung pada paksinya. Skoliosis ini lebih kerap berlaku dalam kalangan perempuan iaitu sebanyak dua peratus berbanding dengan lelaki hanya 0.5 peratus.

Secara umum, tulang belakang membengkok secara berlebihan pada arah yang tidak betul. Istilah skoliosis diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘bengkok’. Melalui imbasan sinar x, tulang belakang akan kelihatan seperti huruf S atau C yang sepatutnya kelihatan lurus atau tegak. Tulang belakang bukan sahaja akan bengkok ke tepi malah ia akan berputar pada paksi vertikalnya.

Perubahan tiga dimensi ini akan membawa kesan kosmetik yang negatif serta berkemungkinan untuk menyebabkan komplikasi pada kesihatan seseorang itu. Perubahan kosmetik ini pada amnya tidak akan menjejaskan fungsi kecuali jika kebengkokan itu sangat ketara sehingga jantung dan paru-paru tertekan oleh tulang rusuk. Ini akan menyebabkan kemerosotan fungsi paru-paru dan kardiovaskular.

Bentuk skoliosis yang paling biasa dan lebih daripada 80 peratus kes berlaku ialah skoliosis idiopatik. Idiopatik tidak diketahui punca penyebabnya dan terbahagi kepada beberapa peringkat umur. Ini termasuk bayi yang sejak lahir hingga tiga tahun, juvenil mulai tiga tahun hingga akil baligh, remaja ketika atau selepas akil baligh dan dewasa selepas usia 20 tahun.

Sementara itu, skoliosis kongenital berlaku akibat ketidaknormalan pembentukan tulang vertebra. Kecacatan skoliosis kongenital boleh berlaku apabila tulang belakang gagal berkembang secara normal. Beberapa sindrom kongenital tertentu boleh tergolong sebagai kecacatan skoliosis. Ini berlaku apabila terdapat masalah pada bahagian badan yang lain yang menyebabkan lengkung di tulang belakang. Sebagai contoh, percanggahan panjang kaki boleh menyebabkan tulang belakang melengkung ke arah sisi. Kekejangan otot dan keradangan juga boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Apabila skoliosis dikelaskan sebagai bukan struktur, sebaliknya rawatan ditujukan kepada masalah yang mendasari, bukan tulang belakang itu sendiri.

Tambah Dr. Kok Keong, jika dibiarkan tanpa rawatan, skoliosis dewasa yang teruk akan menyebabkan sakit belakang yang berpanjangan, kecacatan bentuk badan dan kesukaran bernafas

Bagi kes skoliosis ringan, pemerhatian berkala akan dibuat oleh doktor sehingga tahap kematangan tulang hampir sempurna. Doktor akan memeriksa perkembangannya untuk memastikan pembengkokan tulang belakang tidak menjadi teruk. Pesakit akan diminta untuk rawatan ulangan setiap tiga hingga enam bulan. Tidak ketinggalan, pesakit juga boleh menggunakan peralatan khas untuk menyokong tulang belakang untuk menghalang tulang belakang menjadi lebih bengkok. Doktor juga akan mencadangkan untuk memakai peralatan khas yang sesuai.

“Pembedahan akan dicadangkan kepada pesakit yang mengalami skoliosis yang teruk. Skru, wayar dan besi khas akan digunakan untuk meluruskan kembali tulang belakang tersebut. Namun, pembedahan memerlukan penanaman tulang yang diambil daripada tulang pinggul dan rusuk.

“Selepas pembedahan pesakit boleh berjalan tanpa memakai pendakap badan pada hari kedua atau ketiga. Pesakit akan dibenarkan pulang dalam masa seminggu, seterusnya boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa. Selain itu, bersukan dibenarkan selepas enam hingga sembilan bulan selepas pembedahan,” jelasnya.


Sumber Asal : © Utusan Melayu (M) Bhd