Adakah suami anda tidak pandai membuat kerja rumah, pemalas, hanya pandai menonton televisyen sepanjang hari? Itu memang keterlaluan dalam kehidupan berpasangan dan agak tidak adil jika hanya isteri yang membuat kerja-kerja rumah. Apatah lagi isteri masa kini turut mencari nafkah membantu suami dari aspek kewangan.

Jadi, apabila isteri dan suami sama-sama penat pulang dari kerja, si isteri jugalah yang akan berkejaran melakukan rutin membasuh dan melipat kain, memcuci pinggan, masak makan malam dan menguruskan anak.

Si suami pula, menggunakan alasan letih sambil mendamparkan diri di atas sofa empuk bersantai sambil bermain telefon di hadapan televisyen.


Isteri mana tak marah?

Jangan risau, Kami memetik 6 panduan untuk pujuk suami malas membantu isteri buat kerja rumah seperti yang dikongsi laman Paired Life.


  1. Elak beri arahan kepada suami untuk membuat lebih dari satu kerja pada satu-satu masa. Beritahu suami untuk bantu anda dengan meminta membuat satu kerja dahulu. Ingat, elak membuat senarai panjang kerja yang perlu dilakukan suami kerana mereka tidak suka dan akan menolak untuk membantu serta-merta.
  2. Jangan sesekali membebel. Ini akan membuatkan mereka berasa jengkel dan tidak mahu langsung menolong anda. Semakin banyak membebel dengan pertanyaan yang mengundang rasa tidak selesa seperti, “abang kenapa tak tolong saya jaga anak, kenapa tak nak sidai kain, janganlah asyik duduk depan tv,” dan sebagainya, lagilah mereka tidak tergerak untuk membantu. Si isteri hanya perlu beritahu sekali dan tinggalkan sahaja kerana mereka akan bantu selepas itu.
  3. Biarkan suami tetapkan waktu untuk membantu isteri. Mereka akan rasa terancam jika isteri mengarah membuat kerja pada waktu tertentu. Si suami akan berasa bangga jika mereka mampu menyiapkan kerja dalam durasi yang mereka mampu lakukan dan akan berasa lebih selesa untuk bantu anda pada masa hadapan.
  4. Jangan cari kesalahan suami semasa mereka membantu melakukan kerja. Puji dan lihat kepada kebaikan mereka semasa menawarkan bantuan di rumah. Sama seperti kita, apabila si suami sering melihat keburukan kita, pasti berasa sedih dan marah. Samalah juga dengan suami anda.
  5. Bertoleransi dengan cara kerja lelaki, mereka mungkin tidak sesempurna seorang wanita atau ibu. Elak membeza-bezakan cara anda melakukan sesuatu kerja dan suami anda. Bantuan misalnya melipat kain mungkin tidak menepati kualiti yang diinginkan si isteri, belajar menerima. Kalau anda rasa cara kerjanya langsung tidak mengena dengan citarasa anda, maka buatlah sendiri bagi mengelak sebarang konflik. Wujudkan persefahaman supaya si suami tidak berasa seperti tidak dihargai walaupun sudah bantu ringankan beban isteri.
  6. Jadikan suami seorang hero. Lelaki amat suka menjadi hero di mata isterinya. Mereka mungkin tidak sedar kepentingan membantu isteri dengan kerja rumah. Dalam kebanyakan kes, jika si isteri berkerja, mereka akan penat melakukan kerja rumah seorang diri dan ia membebankan. Lelaki pula tidak pandai mengesan keletihan isteri. Jadi buat mereka fahami kepenatan anda dengan menjelaskan keadaan sebenar tanpa merendahkan suami atau dengan menggunakan nada marah.


Jika suami anda seorang yang keras kepala dan tidak boleh dilentur dengan petua-petua ini, kami tidak dapat membantu, selamat mencuba!

Sumber : FMT