Kehidupan manusia tidak selalunya mengikut apa yang dirancangkan. Benarlah kehidupan dunia di dunia ini umpama roda. Sebagai seorang yang beriman, apa saja yang terjadi tidak menyebabkan kegusaran di hati apabila memahami itu adalah takdir llahi.

Tidak mungkin seseorang itu terlepas daripada menghadapi kesedihan. Cuma, kita dianjurkan agama supaya tidak keterlaluan menurut kata hati sehingga melemahkan kesihatan mental dan fizikal.

Menyentuh mengenai situasi duka lara atau rasa bimbang itu, kita perlu ingat peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah bersama sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq.

Ketika bersembunyi di dalam Gua Thur buat sementara daripada buruan kaum Musyrikin Makkah, Rasulullah SAW memotivasikan Abu Bakar dengan kata-kata semangat: La tahzan Innallaha Ma’ana bermaksud:

Janganlah bersedih kerana Allah bersama kita.

Walaupun kata-kata motivasi Rasulullah SAW itu untuk Abu Bakar, ia relevan buat kehidupan kita pada masa kini dalam menangani sebarang keadaan yang tidak menyenangkan hati kita.

Islam mengajar cara dan kaedah tersendiri menghindar kesedihan jiwa. Perkara penting yang perlu disematkan dalam hati ialah menguatkan keimanan dan takwa kepada Allah.

Pegang kukuh akidah dan tauhid. Allah SWT menegaskan hal demikian melalui firman yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah.’ Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13)

Ayat itu menjelaskan, hati yang sentiasa dikuatkan dengan iman dan akidah yang kukuh menjadi benteng paling ampuh buat seseorang menanggung setiap peristiwa menyedihkan dalam kehidupannya.

Hanya berpaut kepada keyakinan Allah akan membenihkan rasa tenteram dalam jiwa meskipun ketika seseorang itu dirundung pelbagai dugaan hidup.

Iman dan keyakinan tauhid ibarat akar tunjang yang membina sikap positif dalam kehidupan seseorang.

Sebaliknya, tanpa iman dan tauhid seseorang itu akan terus berasa hiba dan sedih. Justeru, kita perlu sentiasa berasa dekatnya dengan Allah SWT iaitu dengan cara memantapkan takwa menerusi zikrullah dan amal ibadat yang lain.

Perlu juga kita pasakkan dalam diri keyakinan kepada diri sendiri. Namun, percayakan diri sendiri bukan dalam konteks kita bersikap ego dengan keupayaan dan kejayaan yang diperoleh.

Percayakan diri sendiri bermaksud kita percaya penuh Allah SWT mengurniakan begitu banyak nikmat-Nya. Maka, hilang satu nikmat dalam kehidudupan tidaklah menyebabkan hati kita berasa kecewa dan bermuram durja.

Buat apa bersedih dengan hilang satu, sedangkan masih berbaki pelbagai nikmat lain. Menantu Rasulullah SAW, Saidina Uthman bin Affan pernah ingatkan diri kita supaya tidak bersedih dengan urusan keduniaan.

Beliau berpesan:

Kesedihan dalam urusan dunia dapat menggelapkan hati, kesedihan dalam urusan akhirat dapat menerangkan hati. Sudah banyak berlaku apabila kesedihan dalam perkara keduniaan akhirnya membawa kepada pelbagai impak negatif.

Misalnya, kerana terlalu bersedih dengan keputusan peperiksaan, ia boleh membuatkan seorang pelajar murung. Bagi seorang peniaga pula apabila urus niaga kurang ‘menjadi’, tidak mustahil perkara terlarang agama dipilih untuk menghilangkan rasa sedihnya itu.

Jadilah umpama burung pada pagi hari. Makhluk Allah itu begitu positif dengan roda kehidupan hariannya. Tidak terlintas untuk bersedih hati lantaran perut masih kosong, sedangkan anak kecil di sarang masih tidur.

Lantas, si burung mengepakkan sayapnya menerjah awan menuju entah ke destinasi mana yang mahu dituju, namun rezeki Allah tetap dijumpai untuk bekalan diri sendiri, lebih-lebih lagi untuk dibawa bagi keperluan anak mereka yang menanti di sarang.

Si burung bersikap positif meniti hari yang sesekali difikirkan tidak ada pada diri kita. Justeru, usahlah bersedih dalam meniti kehidupan yang mencabar ini.

Lalui hidup ini dengan tabah dan takwa. InsyaAllah segala dugaan mampu ditangani dengan berlapang dada.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Sumber : Harian Metro