Kesunyian bukan hanya dirasai individu bujang. Individu-individu yang sudah berkeluarga, apa kurangnya.
Tidur sekatil, tapi masih rasa sepi?
Ini antara luahan kebanyakan individu berumahtangga di Malaysia.
Tidak pelik kerana menurut pakar psikologi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mariani Mohd Nor punca terlalu sibuk dengan kerja merupakan faktor utama situasi itu berlaku.
Tanggungjawab terhadap keluarga yang merupakan kewajipan utama tidak menjadi keutamaan dalam mewujudkan keharmonian dalam institusi keluarga, kata Dr Mariani.
Ini sekaligus, pasangan berasa sunyi, diabaikan dan tidak dihargai.
Ada pasangan, tidak kira suami atau isteri, yang terlalu fokus dengan kerja. Sampai waktu makan nak bercakap tentang bekerja. Ini akan menyebabkan pasangan rasa jemu dan tertekan.
Saya nasihatkan, hati pasangan perlu dijaga. Hal kerja jangan dibawa sampai ke rumah.
Keletihan kerana sibuk bekerja juga akan menyebabkan pasangan kurang berkomunikasi secara bersemuka di rumah.
Permasalahan ini tidak boleh dipandang remeh, akibatnya hanya mengundang masalah lebih besar dalam institusi keluarga.
Ada yang mengadu dengan saya, cakap dengan pasangan macam cakap dengan dinding. Kahwin dengan manusia atau kahwin dengan pekerjaan?
Situasi itu menyebabkan pasangan cenderung untuk berselingkuh atas alasan sepi dan tiada tempat meluahkan perasaan,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, anak-anak terutamanya remaja akan menerima impaknya.
Perasaan sunyi kerana tidak diperhatikan ibu bapa, menyebabkan mereka cenderung terlibat dalam gejala sosial negatif seperti lumba haram dan seks bebas.
Lebih membimbangkan, ada yang tertekan, murung dan menyebabkan kematian, seperti yang berlaku di United Kingdom, Jepun dan Korea.
Bujang dan mampu hidup sendiri?
Dr Mariani turut berkata, pendirian sesetengah golongan bujang yang enggan berkahwin, atas alasan “mampu hidup sendiri” dan tidak boleh beri komitmen kerana bekerja adalah pemikiran kolot.
Setiap manusia tidak boleh hidup bersendirian. Sampai satu masa, terutamanya bila lanjut usia, mereka perlukan teman untuk membantu
Menurut satu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), penangguhan perkahwinan akan memendekkan tempoh umur reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan semakin menurun.
Usia dianggap sesuai berkahwin bagi wanita ialah 26 tahun dan lelaki 28 tahun, manakala wanita yang mencapai usia 33 tahun dan lelaki mencecah usia 37 tahun sudah disifatkan lewat berkahwin.
Namun, kajian mendapati 86.8 peratus penduduk bujang berumur 25 hingga 49 tahun di negara ini mempunyai hasrat untuk berkahwin, namun mereka lebih selesa memberi alasan sengaja melewatkan perkahwinan atas faktor masalah kewangan, peningkatan kos sara hidup dan tidak jumpa pasangan serasi.
0 Comments