Selepas hebat dipertikaikan, Nestle mempertahankan minuman keluaran syarikatnya, Milo merupakan minuman sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle, Othman Md Yusoff berkata walaupun ia mengandungi 40 peratus gula, apabila dibancuh kandungan itu hanya tinggal enam peratus sahaja.
"Bagi saya, minuman Milo ialah minuman yang sihat. Sebenarnya, di bungkusan memang tertulis gula sebanyak 40 peratus, 40 peratus gula itu, 20 peratus daripadanya ialah daripada susu, laktosa dan malt.
“Susu yang ada merupakan susu yang mempunyai gula semula jadi dan baik untuk badan. Lagi 20 peratus itu gula dan ia dalam bentuk serbuk.
"Selepas lima sudu teh Milo ditambah dengan 200 mililiter air panas, jumlah gula kemudian menjadi enam peratus sahaja iaitu tiga peratus daripada susu tadi dan tiga peratus lagi gula.
"(Kadar) 40 peratus itu bila tidak dicampur air. Jadi sebenarnya hanya enam peratus gula sahaja yang masuk ke badan. Video yang viral itu mengelirukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibu negara hari ini.

Othman berkata demikian sebagai menjawab dakwaan video yang tular di media sosial yang mendakwa Milo tidak sihat kerana mengandungi gula yang tinggi, sekali gus menggemukkan.


'Jangan tambah susu, gula'

Selain itu, Othman turut memberitahu, minuman Milo hanya menjadi tidak sihat apabila ia ditambah dengan susu dan gula.

Justeru beliau meminta agar orang ramai menyediakan minuman Milo seperti panduan yang tertulis pada bungkusan minuman itu.
"Dekat bungkusan kita ada tulis penyediaan Milo iaitu lima sudu teh Milo dan kemudian tambah 200 mililiter air panas. Tapi orang kita tambah susu, gula. Itu yang jadi tak sihat," 


Tak sama dengan Milo Australia

Sementara itu, ditanya mengenai perbezaan kandungan gula Milo di luar negara dan di Malaysia, Pegawai Kanan Pemakanan Unit Kesihatan Korporat Nestle, Nurul Iliani Ahmad memberitahu ia dibuat berdasarkan populasi penduduk di setiap negara.
"Kita ikut populasi di setiap negara. Macam di Malaysia kita ikut selera penduduk di negara ini dan seperti di Australia, Milo mereka mengikut selera negara sana. Jadi formulasi bagi setiap kandungan Milo berbeza-beza mengikut negara yang diedarkan,"


Sumber : Malaysiakini