Apa itu Hernia? Ramai Tidak Sedar Ada Hernia !!!


Lazimnya kita mendengar kanak-kanak lelaki yang baru lahir menghidap angin pasang atau hernia. Dalam kalangan bayi baru lahir pula, bayi pramatang lebih cenderung menghidap angin pasang berbanding bayi cukup bulan.

Hernia lazimnya berlaku pada pangkal paha dinamakan inguinal hernia dan femoral hernia. Hernia juga boleh berlaku di kawasan pertengahan bahagian depan abdomen dikenali sebagai epigastric (bahagian atas pada abdomen), paraumbilical (atas dan bawah umbilicus) dan umbilical hernia (pada umbilicus).

Namun pernahkah anda mendengar hernia dalam kalangan lelaki dewasa. Ya! Hernia bukan hanya boleh terjadi terhadap golongan lelaki malah golongan wanita.

Perunding Bedah Am, Payudara dan Endokrin, Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr Zamzuri Zakaria berkata, ramai tidak sedar mereka mempunyai Hernia sehingga menjalankan pemeriksaan kesihatan disebabkan masalah lain.
“Hernia tidak menyebabkan simptom seperti sakit menyebabkan ramai tidak peka terhadap ‘kehadirannya’. Hernia adalah benjolan tidak normal yang berlaku dari satu kaviti ke kaviti lain.
“Hernia yang paling sering ditemui adalah hernia inguinal yang muncul di kawasan sekitar ari-ari dan pangkal paha. Malah benjolan boleh besar sehingga ke bahagian kerandut kerana bahagian otot dinding kulit yang lemah terlalu besar.
“Komplikasi berlaku apabila bahagian terkeluar contohnya usus, mati akibat halangan untuk masuk kembali dan tisu terbabit tercekik di laluan itu menyebabkan iskimia iaitu darah tidak dapat mengalir ke bahagian berkenaan dan akhirnya gangren.
“Jika kuman mula menyerang bahagian yang mati, ia boleh mengancam nyawa. Sebab itu pengesanan dan rawatan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” 
Menurut beliau, kejadian bonjolan yang sekejap ada dan sekejap tiada itu dirujuk sebagai ‘angin pasang’. Sebenarnya terma ini adalah tidak tepat kerana bonjolan itu bukan seketul angin, sebaliknya sebahagian daripada usus kecil atau besar keluar dari abdomen dan terperangkap di luar abdomen.
“Pada orang dewasa, hernia terjadi kerana tekanan yang tinggi dalam rongga perut dan kelemahan otot dinding perut kerana faktor usia. Tekanan dalam perut meningkat disebabkan batuk yang kronik, susah buang air besar, pembesaran prostat pada lelaki, serta mereka yang sering mengangkat objek berat.
“Masalah hernia tidak boleh dipandang ringan kerana jika lambat mendapatkan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mampu membawa maut,” katanya.
Hernia dalam kalangan lelaki dewasa jarang dibincangkan kerana ramai yang masih bersifat ‘tabo’ membabitkan alat sulit lelaki. Ia juga kerap terjadi dalam lingkungan lelaki berusia 50 tahun ke atas tetapi ada sesetengah kes membabitkan golongan awal 30-an.

Jenis Hernia :

1. Inguinal hernia
2. Hernia femoral
3. Hernia hirisan

Inguinal hernia:

  • Berlaku di bahagian kelangkang. 
  • Sebanyak 70 peratus hernia dari jenis ini. 
  • Ia 25 kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita. 
  • Hernia ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu langsung dan tidak langsung. Kedua-duanya dibezakan melalui sedikit perbezaan berdasarkan punca kejadian mereka. Kedua-duanya boleh kelihatan serupa semasa membonjol di kawasan kelangkang. Membezakan antara kedua-duanya amat penting ketika membuat diagnosa klinikal.
  • Angin pasang tidak langsung:
    • Hernia akibat bonjolan apabila kandungan bonjolan terkeluar melalui jalan yang pernah dilalui oleh testes (buah pelir) semasa perkembangan di peringkat janin dahulu. (Ketika peringkat awal janin, buah pelir berada di dalam abdomen dan semasa perkembangan, ia turun ke bawah sehingga masuk ke dalam buah zakar).
    • Jalan ini biasanya tertutup sebelum bayi lahir tetapi boleh menjadi tempat berlakunya hernia kemudian hari. Hernia boleh berlaku pada semua peringkat umur. Kadangkala kantung hernia boleh membonjol sehingga dalam buah zakar.


  • Angin Pasang langsung:
    • Hernia ini berlaku pada kawasan di mana dinding abdomen kurang tebal. Ia biasanya tidak menonjol ke dalam skrotum.
    • Tidak seperti hernia tidak langsung yang boleh berlaku di semua peringkat umur, hernia jenis ini cenderung berlaku kepada mereka yang berada di peringkat pertengahan umur dan orang tua disebabkan dinding abdomen menjadi semakin lemah apabila usia meningkat.


Hernia femoral :

  • Saluran femoral adalah jalan di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan paha. Biasanya saluran ini ketat dan padat, tetapi kadangkala ia menjadi besar untuk membolehkan kandungan abdomen menonjol ke dalam saluran berkenaan.
  • Hernia femoral menyebabkan bonjolan di bahagian bawah lipatan kelangkang, di kawasan tengah paha. Biasanya berlaku kepada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut/irreducible di mana ia tidak boleh ditolak masuk.


Hernia hirisan

  • Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama di bahagian yang dihiris. Ia menyebabkan kawasan bekas hirisan menjadi lemah.
  • Hernia boleh terjadi pada bahagian yang lemah ini. Ia berlaku dalam dua hingga 10 peratus pembedahan abdomen.


Penyebab hernia

Hernia yang berlaku dalam kalangan warga tua sama ada disebabkan adanya jalan yang terbentuk ketika perkembangan fetus, bukaan sedia ada dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sesuatu keadaan.

Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan hernia atau menyebabkan menjadi lebih teruk.

Risiko meningkatkan hernia : 

  • Obesiti
  • Mengangkat objek berat
  • Batuk
  • Meneran ketika buang air besar atau kecil
  • Penyakit paru-paru kronik
  • Ada cecair di dalam ruang abdomen


Sumber Asal : HMetro
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment