Jana Pendapatan Lumayan Hasil Cendawan Volvariella


Berbekalkan iltizam tinggi, seorang siswazah Pengajian Media dari Universiti Malaya tekad untuk berkecimpung dalam projek tanaman cendawan Volvariella sehingga mampu mencapai pendapatan RM4,500 sebulan.

Sarah Hussain, 32, dari Kampung Bukit Murai, Mukim Padang Pusing, di sini berkata dia mengusahakan tanaman itu secara perkongsian bersama abangnya, Omar, 51, dan sepupunya, Khairul Azmi Rejab, 26, di kebun getah seluas kira-kira 0.4 hektar milik keluarganya bermula Oktober lalu.

Melalui bimbingan dan bantuan Jabatan Pertanian daerah berupa tandan kelapa sawit yang dijadikan medium tanaman, dan anak benih, Sarah tekad mengikuti kursus tanaman yang diadakan di sini.
"Sebanyak 32 batas cendawan disediakan dengan setiap batas dapat menghasilkan lima hingga tujuh kilogram cendawan selepas 10 hari benih ditabur,"
Cendawan Volvariella atau biasanya dipanggil cendawan jerami diperkenalkan kepada pekebun kecil sebagai tanaman alternatif bagi menambah pendapatan mereka.

Sebelum ini, ia ditanam menggunakan jerami padi sebagai medium tanaman, namun kini lebih mudah apabila tandan sawit yang hanya perlu diperap digunakan sebelum disusun untuk dijadikan batas penanaman.

Sarah berkata setiap bulan mereka mampu mengutip kira-kira 300 hingga 400 kilogram cendawan Volvariella dengan pendapatan kasar sekitar RM4,500 hingga RM5,000 sebulan (sekali pusingan tanaman). 

Sementara itu, Omar berkata sambutan terhadap cendawan Volvariella amat menggalakkan dan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat serta pengusaha restoran.
"Cendawan ini mempunyai khasiat yang tinggi dan boleh dijadikan hidangan untuk keluarga serta produk hiliran lain seperti produk kecantikan serta dijadikan serunding,"
Omar berkata kebun cendawannya kini turut menjadi projek perintis bagi daerah Pendang dan pusat rujukan kepada mereka yang ingin mendapat khidmat nasihat mengenai tanaman cendawan jenis itu.

Sumber Asal : BH
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment