Tentu ramai yang sudah menyaksikan beberapa video viral tentang kes perebutan anak antara suami dan isteri yang sudah bercerai.
Penceraian antara suami dan isteri adalah perkara yang sangat menyakitkan kerana ia akan melukakan hati pelbagai pihak. Jika pasangan sudah mempunyai anak, sudah tentu perceraian akan memberi kesan emosi kepada anak-anak.
Jangan dipandang remeh hal ini kerana ia sudah tentu mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan si manja. Pakar psikologi dalam kajiannya membuktikan banyak kesan negatif akan dialami oleh anak-anak mangsa perceraian.
Berikut antara fakta penting yang mesti setiap ibu bapa ketahui tentang kesan perceraian terhadap anak-anak.
- Keupayaan kanak-kanak dalam menghadapi kesan perceraian berbeza mengikut peringkat umur.
- Kanak-kanak yang lebih muda usianya lebih sukar untuk menyesuaikan diri dan menangani tekanan akibat perceraian.
- Tekanan dan kepedihan yang dialami oleh kanak-kanak usia enam hingga sembilan tahun sukar digambarkan kerana mereka sudah memahami apa yang sedang berlaku.
- Walaupun kanak-kanak faham apa yang berlaku namun mereka masih terlalu muda untuk mengawal keadaan.
- Kanak-kanak tidak tahu bagaimana untuk menunjukkan reaksi terbaik terhadap kedukaan yang dialami.
- Kanak-kanak mangsa perceraian akan mengalami kemurungan.
- Mereka juga mempunyai perasaan malu yang sukar ditafsirkan.
- Mengalami perasaan berbelah bagi terhadap kesetiaan yang perlu dibahagi antara ibu dan ayah.
- Mempunyai perasaan marah yang begitu mencengkam jiwa.
- Mudah terasa mereka dibenci atau disisih oleh kedua ibu bapa yang meninggalkan mereka.
Ibu atau bapa perlu membawa anak kepada pakar berkaitan sekiranya anak-anak ada tanda-tanda berikut:
- Menunjukkan sikap agresif yang keterlaluan.
- Kemurungan dan langsung tidak mahu bergaul dengan orang lain.
- Menunjukkan rasa tidak suka dan tidak minat terhadap aktiviti yang biasanya seronok dilakukan sebelum ini.
- Menunjukkan kemerosotan yang amat ketara dari segi akademik dan pembelajaran.
- Keterlaluan mengutuk dan mengkritik diri sendiri.
Ibu atau bapa perlu menunjukkan ketenangan dan kesabaran tinggi kerana anak akan mempelajari cara mengawal perasaan melalui contoh teladan ditunjukkan oleh ayah atau ibunya. Memberitahu anak yang dirinya sentiasa disayangi dan akan dijaga dengan sempurna. Membantu anak untuk meluahkan rasa takut atau kerisauan yang melanda diri.
Janganlah diikut perasaan marah dan dendam yang bersarang dalam hati ibu dan ayah yang sudah bercerai. Sebaliknya sama-sama fikirkan emosi anak yang menjadi mangsa dan berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka.
0 Comments