Soalan

Terima kasih kerana membaca email saya,di sini saya ingin mengajukn soalan mengenai masalah tonsil yang di alami anak saya yang berumur 2 tahun 6 bulan.

Sewaktu dia berumur 1 tahun, dia kerap demam, batuk dan selsema  sehingga kini. Pada usia 1 tahun 4 bulan,dia telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami “febrile fits”, dan berulang pada usia 2 tahun 3 bulan.

Apa yang merisaukan saya, tiap kali demam, doctor akan memberikan ubat antibiotic kerana jangkitan kuman pada tonsil, dan boleh dikatakan 2 bulan sekali diberikan antibiotics. Saya risau akan ada kesan sampingan jika ubat tersebut diambil dgn kerap.

Sehingga kini, tonsil anak saya bengkak walaupun tidak demam. Dari segi makan dan minum, tiada masalah. Cuma ketika tidur saja berdengkur. Pada pandangan doctor, perlukah pembedahan buang tonsil dilakukan terhadap anak saya? Mohon pencerahan.


Jawapan

WA ALAIKUM MUS SALAM.

Anak puan mengalami masalah tonsil yang kronik. Dalam kes sebegini, walaupun tiada jangkitan kuman (dan demam), tonsil anak puan sentiasa bengkak, cuma bezanya ia tidak merah dan sakit.

Bengkakan tonsil ini telah menyempitkan pernafasan anak puan sehingga menyebabkan anak puan berdengkur ketika tidur.

Ubat antibiotic yang diberikan oleh doctor tidak memudaratkan, sekiranya ia diberikan dengan dos yang betul dalam jangkamasa yang disarankan. Jika tidak anak puan akan mengalami masalah ketahanan antibiotic, di mana, ubat antibiotic yang sama tidak lagi berkesan untuk anak puan.

Penggunaan ubat antibiotic yang kerap juga mengganggu kehidupan mikrob yang baik dan diperlukan dalam tubuh, terutamanya dalam usus besar. Mikrob ini membantu pencernaan, secara tidak langsung membantu anak puan membesar dan menjadi sihat.
Puan harus mencari sebab mengapa anak puan kerap mendapat masalah bengkakan tonsil. Mungkin kebersihan di rumah, TASKA atau di sekeliling rumah yang menyebabkan beliau mudah mengalami jangkitan kuman.
Jadi jika puan berjaya mengenalpasti puancanya, ia akan menjarakkan kekerapan jangkitan kuman pada tonsil anak puan. Dengan ini, kurang antibiotic yang diberikan.

Kebanyakan buku teks telah memberikan pelbagai indikasi bagi tonsillectomy, ialah pembedahan membuang tonsil.

American Academy of Otolaryngology–Head and Neck Surgery (AAO-HNS) juga telah menggariskan indikasi yang mudah difahami sebagai berikut.

Pembedahan yang wajib dilakukan:
  1. Pembesaran tonsil hingga menjadi halangan dalam saluran pernafasan dan saluran pemakanan sehingga menjadi sukar bernafas, sukar menelan, mengganggu tidur akibat dengkuran dan menyebabkan masalah komplikasi kardipulmonari.
  2. Peritonsillar abscess iaitu nanah yang berkumpul dalam tonsil dan rawatan antibiotic tidak lagi berkesan.
  3. Tonsillitis menyebabkan sawan demam (febrile convulsions)
  4. Bengkakan tonsil yang disyaki akibat kanser.

Pembedahan yang harus dipertimbangkan:
  1. Tiga atau lebih setahun jangkitan kuman pada tonsil, walaupun telah diberikan rawatan ubat yang mencukupi.
  2. Mengalami bau mulut (pernafasan) yang kuat akibat jangkitan tonsilits yang terlalu lama (chronic tonsillitis)
  3. Jangkitan kuman yang berulang-ulang pada individu pembawa kuman streptococcal dan tidak sembuh dengan rawatan ubat antibitotik beta-lactamase.

Walau bagaimana pun nasihat doktor ENT sama ada perlu pembedahan atau tidak, haruslah dibincangkan dengan baik oleh ibubapa sebelum membuat keputusan.

Namun saya ingin memberitahu, sungguhpun tonsil adalah sebahagian daripada sistem pertahanan dalam badan, namun kesihatan kita tidak akan terjejas jika kita membuang tonsil, kerana tubuh kita mempunyai pelbagai jenis antibodi yang cukup kuat.

Pengalaman saya sendiri, semasa belajar di universiti  sering mengalami sakit tekak akibat tonsillitis. Hampir setiap bulan saya mengalami jangkitan kuman pada tonsil.

Sehinggakan tubuh saya resistant kepada pelbagai jenis antibiotic. Ini bermakna banyak antibiotic yang tiadak lagi berkesan merawat jangkitan kuman di tonsil saya.

Akhirnya saya menjalani pembedahan tonsillectomy ketika berumur 22 tahun, Alhamdulillah dengan izin ALLAH, sehingga sekarang saya tidak lagi mengalami sakit tekak  yang kuat seperti mana semasa saya belajar di universiti dulu.

Wallahu a’lam

DrZubaidi