Statistik Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira 19,000 daripada setiap 100,000 rakyat negara ini menghidap pelbagai jenis kanser dan wanita adalah golongan yang paling berisiko menghidap penyakit berkenaan, iaitu membabitkan 10,290 pesakit daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia.

Lima kanser paling kerap menyerang rakyat negara ini adalah :

  1. Kanser payudara sebanyak 48.5 peratus, 
  2. Kanser usus (12.1 peratus), 
  3. Kanser paru-paru (11.8 peratus), 
  4. Kanser pangkal rahim (5.7 peratus) dan 
  5. Kanser kerongkong (5.4 peratus). 


Kanser usus merupakan barah atau pertumbuhan tidak normal yang berlaku pada dinding saluran usus besar. Penyakit itu terbahagi kepada dua jenis, kanser usus sporadik, iaitu 80 hingga 85 peratus kanser berlaku secara spontan, manakala kanser usus keturunan pula lima hingga 15 peratus penghidap yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit berkenaan.

Kanser usus berada di tempat kedua pembunuh utama wanita, namun hakikatnya kanser usus dapat dicegah dan dirawat jika dikesan lebih awal dengan menjalani ujian kolonoskopi 15 tahun lebih awal daripada ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan.

Menurut Perunding Perubatan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Raja Affendi Raja Ali, kanser usus tidak mempunyai tanda gejala pada peringkat awal apabila pesakit tidak akan menyedari mereka menghidap kanser usus sehingga penyakit berkenaan telah berada pada tahap yang kronik.

Jelas Dr. Raja Affendi, kebanyakan penghidap tidak akan merujuk pada doktor kerana mereka tidak berasa sebarang kesakitan atau kelainan pada tubuh mereka. Mengikut rekod, hanya sembilan peratus penghidap di negara ini yang merujuk doktor pada peringkat awal, iaitu peringkat boleh sembuh, manakala 28 peratus lagi pesakit sedar ketika kanser pada tahap dua dan selebihnya hanya tahu ketika berada tahap yang kronik.

“Kesedaran orang ramai untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan amat penting kerana hampir 90 peratus pesakit yang dikesan pada peringkat awal berjaya sembuh dalam tempoh lima tahun selepas mendapat rawatan.

“Ini kerana, 80 peratus penghidap kanser usus adalah mereka yang mempunyai latar belakang ahli keluarga yang pernah mempunyai kanser, manakala selebihnya mereka yang dikesan melalui pemeriksaan kesihatan biasa yang dijalankan.

“Justeru, mereka yang berisiko menghidap penyakit ini sepatutnya boleh sembuh sekiranya mereka tampil menjalani ujian kolonoskopi dengan lebih awal.

“Ini boleh dilakukan apabila ada ahli keluarga yang menghidap kanser pada usia 65 tahun, jadi pesakit itu perlu jalani ujian pada usia mereka 50 tahun agar lebih cepat rawatan kita dapat diberikan,”

Menurut Dr. Raja Affendi, kanser usus berlaku apabila wujudnya polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan usus, yang berpotensi berubah menjadi prakanser (pre-cancer) terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser.

Tambah beliau, saiz polip adalah kecil iaitu satu sentimeter atau kurang, namun lama-kelamaan dalam tempoh beberapa tahun polip berubah menjadi besar dan menjadi sel kanser. Oleh sebab saiznya terlalu kecil pada peringkat awal, lazimnya pesakit tidak menyedari kehadirannya melainkan hanya boleh dikesan melalui kaedah kolonoskopi.

Walaupun tidak semua polip akan berubah menjadi kanser, doktor sering menasihatkan polip yang dikesan perlu dibuang ketika ujian itu dijalankan ke atas pesakit bagi mengurangkan risiko kanser usus.

“Tempoh polip merebak menjadi kanser tidak dapat dijangka kerana bergantung kepada tahap kesihatan pesakit dan tabiat hidup mereka. Jika mereka kurang serat, merokok, berat badan berlebihan dan diet lemak yang tinggi, maka polip mudah merebak dengan cepat dan lazimnya sekitar 10 hingga 15 tahun, malah ada yang lebih cepat daripada tempoh itu.

“Apa yang membimbangkan, polip yang merebak menjadi kanser akan menyerang bahagian organ dalaman seperti hati, paru-paru, otak dan tulang. Sebaik sahaja empat organ ini diserang adalah amat sukar untuk pesakit sembuh,” jelasnya.

Ujian kolonoskopi hanya 15 minit Terdapat dua cara untuk mengenal pasti sama ada pesakit menghidap kanser usus, iaitu melalui ujian pengesanan darah di dalam najis (iFOBT) bagi kumpulan yang berisiko rendah dan ujian kolonoskopi bagi kumpulan berisiko sederhana dan tinggi. 

Melalui iFOBT yang dilakukan secara tahunan, mampu mengesan hampir 92 peratus kanser usus yang dihidapi, selain mengurangkan kadar kematian akibat kanser sebanyak 33 peratus selepas 13 tahun. Ujian kolonoskopi pula, hanya mengambil masa 15 hingga 45 minit, iaitu selepas pesakit diberi ubat tidur, wayar dengan kamera sepanjang satu meter serta peralatan memotong polip dimasukkan ke dalam rektum pesakit.

“Dari itu, doktor akan melihat usus menggunakan kamera khas dan terus membuang polip yang dikesan. Jangan risau, keadah ini langsung tidak menyakitkan, malah pesakit tidak akan sedar proses itu berlangsung kerana mereka dibius.

“Kos buat ujian kolonoskopi tidak mahal dan hanya memerlukan masa paling lama pun sejam sahaja. Apa yang pasti, dengan tindakan pemeriksaan awal, hakikatnya kita telah membantu diri sendiri daripada bergelar pesakit kanser, malah lebih kurang RM700 juta dapat dijimatkan setahun untuk kos perubatan dan rawatan pesakit ini,” ujarnya.