Kejernihan air di kolam renang ternyata mampu menambat hati sesiapa sahaja terutamanya ketika musim panas.

Ini kerana, pada waktu itu, individu lebih gemar melakukan aktiviti yang mampu menyejukkan badan selain mengembalikan kesegaran tubuh seperti berenang dan berendam di dalam air.

Ramai yang tidak sedar bahawa kejernihan air bukan merupakan kayu pengukur bagi menentukan kebersihan sesebuah kolam renang. Malah, penularan penyakit seperti cirit-birit, masalah kulit, jangkitan saluran pernafasan dan kegatalan mata sering berpunca daripada air kolam renang.

Menurut kajian yang dijalankan oleh penyedilik Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, Michael Beach, sebanyak 40 peratus daripada kolam renang di negara berkenaan didapati mempunyai kualiti air yang paling kotor dan tercemar.

Hal ini sering berlaku kerana kekurangan kandungan klorin yang diletakkan di dalam air tersebut. Kandungan klorin di dalam air kolam renang sangat penting kerana ia menentukan keupayaan air tersebut untuk membunuh kuman yang membiak setiap saat.

“Selain kekurangan klorin, individu juga berisiko untuk diserang jangkitan saluran pernafasan dan gangguan mata kerana gabungan air klorin yang bercampur dengan peluh serta air kencing manusia,” jelasnya.