Program bayi tabung uji yang juga dikenali sebagai In Vitro Fertilization (IVF) merupakan satu alternatif bagi pasangan suami isteri yang gagal mendapatkan anak.

Begitupun, banyak perkara perlu dilakukan oleh pasangan yang sedang menjalani program bayi tabung uji seperti menghindari tekanan bagi mengelakkan program tersebut gagal.

Satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Hospital Gading Pluit, Indonesia terhadap pasangan suami isteri yang tertekan sepanjang tempoh tersebut didapati akan menyebabkan program tersebut gagal.

Menurut ketua penyelidik, Dr. Irsal Yan, faktor kesihatan mental dan psikologi pasangan akan mempengaruhi keberkesanan program bayi tabung uji.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, sekiranya pasangan ibu bapa tidak tertekan sepanjang usaha itu, keberkesanan program akan menjadi 37 peratus, manakala jika ibu bapa kerap tertekan, keberkesanan program hanyalah 19 peratus,” ujarnya.

Tambahnya lagi, doktor yang mengendalikan pasangan yang sedang menjalani program IVF seharusnya menerangkan tentang kemungkinan program itu gagal sekiranya kesihatan psikologi ibu bapa berada pada tahap membimbangkan.