Kita selalu mendengar pelbagai berita mengenai kejadian buli di sekolah. Bagaimanapun, kita mungkin jarang didedahkan tentang kes buli yang berlaku di tempat kerja.

Ini kerana, ia melibatkan dunia pekerjaan orang dewasa dan fenomena buli ini dianggap sebagai perkara biasa.

Malah, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa buli dalam konteks pekerjaan ini adakalanya boleh menjurus kepada kesan yang teruk, bukan hanya kepada pekerja tetapi organisasi.

Buli hanya dianggap berlaku apabila pelakunya ialah seseorang yang secara psikologinya mempunyai kuasa atau pengaruh yang lebih besar daripada mangsa.

Dalam banyak keadaan, mangsa tidak mempunyai pilihan untuk menghalang tindakan-tindakan pekerja yang lebih berpengaruh tadi.

Buli dalam pekerjaan mungkin boleh berlaku pelbagai bentuk, sama ada bersifat fizikal atau psikologikal.

Buli dalam bentuk fizikal ini berlaku apabila individu yang baru memasuki alam pekerjaan atau yang berpangkat lebih rendah disuruh untuk melakukan kerja-kerja yang mungkin tidak relevan dengan sifat pekerjaannya.

Misalnya, seorang pegawai rendah diminta menyediakan minuman untuk pekerja yang lebih senior.

Ada juga dalam sesetengah keadaan, pekerja yang dilihat lemah ini berhadapan dengan sindiran atau kata-kata kesat oleh pekerja lain yang secara relatifnya lebih berkuasa.

Bagaimanapun, buli seperti ini mungkin tidak begitu kerap berlaku berbanding dengan buli yang berbentuk psikologikal.

Buli psikologikal ini biasanya tidak dilihat oleh mata kasar tetapi lebih kepada tekanan emosi yang diberikan seseorang atau sekumpulan pekerja kepada pekerja yang dianggap lemah.

Buli dalam bentuk ini boleh menyebabkan pemulauan, pengasingan atau reaksi bahasa tubuh yang bertujuan untuk menyakiti hati mangsa.

Mangsa mungkin tidak diajak makan bersama atau pandangannya diabaikan dalam mesyuarat.

Sebenarnya, tidak banyak penjelasan psikologikal mengapa buli boleh berlaku. Secara psikologikalnya, mangsa biasanya dilihat sebagai seseorang yang boleh mengancam atau menjejaskan pengaruh pelaku tadi.

Jadi, sebelum seseorang itu dilihat mampu memberi ancaman kepada pelaku, mangsa akan cuba mematikan wataknya. Bagaimanapun, dalam kes tertentu, buli berlaku kerana ada individu yang ingin menunjukkan pengaruhnya kepada orang lain.

Jadi, dengan membuli individu lain, mereka akan dilihat mampu mempertahankan sifat ego dalam organisasi. Walaupun kes buli mungkin jarang dilaporkan dalam konteks pekerjaan di Malaysia, ini tidak bermakna ia tidak berlaku.

Ada sesetengah orang berasakan bahawa mereka patut menghormati pekerja yang lebih kanan atau individu yang sudah lama bekerja. Jadi, tindakan-tindakan ini dianggap sebagai sesuatu yang normal. Ia akan menjadi lebih buruk sekiranya kes buli ini dilakukan oleh ketua sendiri.

Kajian-kajian yang dilakukan setakat ini menunjukkan bahawa buli boleh menyebabkan tekanan pekerjaan. Seseorang yang dibuli akan mengalami simptom seperti kemurungan, kurang motivasi dan dalam keadaan yang teruk, mereka mengalami insomnia.

Sekalipun mangsa mungkin mempunyai potensi yang baik dalam pekerjaan, mereka perlu berhadapan dengan isu-isu psikologikal seperti ini. Akhirnya, mereka berasakan bahawa tidak lagi berguna dalam organisasi itu. Malah, ada yang terpaksa mengambil tindakan berhenti kerja atau berpindah ke jabatan lain.

Bagi sesetengah orang, mereka mungkin tidak menyedari bahawa ada tindakan-tindakan yang dilakukan kepada pekerja lain itu merupakan satu bentuk pembulian.

Bagaimanapun, kita sebenarnya dapat mengesan dengan mudah sama ada apa yang dilakukan itu bersifat buli atau tidak dengan melihat sama ada kita sanggup melakukan hal yang sama kepada orang lain.

Sekiranya kita tidak mempunyai kesanggupan untuk menyuruh orang lain yang dianggap lebih berkuasa tetapi hanya melakukan kepada mereka yang secara relatifnya dianggap lemah, ia mungkin boleh dianggap satu bentuk pembulian.

Sebab itulah, kita perlu profesional dalam pekerjaan. Setiap orang, sama ada pekerja baharu atau lama, lebih tinggi atau rendah pangkatnya perlu dianggap sebagai rakan sekerja.

Mereka perlu diberikan layanan yang saksama, sesuai dengan kepakaran dan skop pekerjaan masing-masing.

Sekiranya kita tidak sanggup orang lain mempergunakan kita atau membiarkan orang lain mengabaikan pandangan kita, janganlah kita melakukannya kepada orang lain.

Jangan sesekali membiarkan ego yang ada dalam diri menjadikan kita manusia yang tidak bertimbang rasa dan membiarkan orang lain merana.