Kesihatan

[Petua Kesihatan][bleft]

Kecantikan

[Petua Kecantikan][bleft]

Seks

[Petua Seks Suami Isteri][bleft]

Perihal Alahan Wajib Kita Tahu !


Alahan pada makanan dan persekitaran dalam kalangan bayi serta kanak-kanak bukanlah isu baru ketika ini. Perangkaan terkini menunjukkan masalah itu makin meningkat terutama di negara membangun sekitar rantau Asia Pasifik.

Ia juga bukanlah perkara menghairankan yang berlaku dalam kalangan ibu bapa moden apabila makin ramai secara terbuka mengatakan si manja mereka mengalami masalah terbabit.

Menurut Pertubuhan Alahan Dunia (WAO) pada 2013, dianggarkan 30 hingga 40 peratus daripada masyarakat dunia kini terjejas akibat satu jenis keadaan alahan atau lebih.

Sekiranya gaya berkenaan berterusan meningkat tanpa sebarang langkah pencegahan, 50 peratus rakyat Malaysia dijangka mendapat sekurang-kurangnya satu jenis alahan menjelang 2020.

Melihatkan kepada hasil kajian Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) baru-baru ini, 50 peratus masyarakat Malaysia percaya wujudnya penawar alahan walaupun hakikatnya belum ditemui.

Jelas Presiden MSAI Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, keputusan interim menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat mencukupi bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan untuk alahan.

“Rawatan bukanlah segalanya. Bagi masalah alahan, pencegahan sepatutnya menjadi matlamat utama memandangkan penawarnya belum ditemui,” katanya.

Keputusan daripada kajian yang julung kali itu menunjukkan 50 peratus rakyat Malaysia percaya wujudnya penawar untuk alahan.

Bagi setiap tiga orang rakyat Malaysia pula, seorang daripada mereka tidak sedar yang alahan boleh diwarisi.

Dalam kalangan rakyat negara ini, isu alahan utama yang menjadi kebimbangan mereka ialah membabitkan alahan makanan (55 peratus), diikuti dengan ketidaktahanan pada makanan (45 peratus), ekzema (42 peratus) dan alahan rinitis (29 peratus).

“Di serata dunia, pola alahan semakin berubah. Pada awalnya, terdapat peningkatan pada asma dan alahan rongga hidung, namun beberapa kajian terkini menunjukkan adanya peningkatan ke atas alahan makanan terutama dalam kalangan kanak-kanak,” tambahnya.

Kajian MSAI itu juga menunjukkan terdapat sebilangan besar rakyat Malaysia tidak mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai anafilaksis iaitu kesan serius disebabkan alahan pada makanan.

Dicatatkan 71 peratus daripadanya tidak tahu atau tidak mampu untuk mengetahui tanda malah simptom serangan anafilaksis.

Sementara 74 peratus daripada mereka tidak pasti cara atau langkah yang perlu diambil jika anak mereka mendapat serangan anafilaksis.

Makanan punca alahan

Sesetengah makanan yang tidak boleh dimakan (tidak toleransi makanan) sering disifatkan sebagai alahan makanan kerana melihatkan kepada gejala yang sama.

Sememangnya ia boleh memberi kesan mudarat pada tubuh, tetapi kebanyakannya tidak begitu serius.

Bagaimanapun, sesetengah alahan makanan boleh menyebabkan kesan serius hingga membahayakan nyawa, misalnya anafilaksis.

Alahan makanan secara amnya mendatangkan kesan kepada semua lapisan umur. Ia terjadi apabila sistem imun badan tidak sesuai dengan sesetengah jenis makanan lalu mendatangkan mudarat susulan tindak balas kimia dalam bahagian dalaman tubuh hingga terhasilnya satu atau lebih gejala alahan.

Kajian terbabit tidak ketinggalan menyenaraikan lima jenis makanan yang mempunyai paling banyak alergen atau memberi kesan alahan seperti yang dialami kebanyakan rakyat Malaysia iaitu makanan laut (90 peratus), kekacang (47 peratus), soya (44 peratus), gandum (30 peratus) dan telur (30 peratus).

Ketua Jabatan Pediatrik di Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Ketua Penyelidik Kajian Kesedaran Alahan Malaysia MSAI Profesor Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata, alahan boleh memberi kesan negatif kepada sesebuah keluarga.

“Antara tanda alahan terhadap makanan termasuk kegatalan, bengkak, ruam dan kesukaran untuk bernafas. Sekiranya gagal untuk mengenal pasti tanda dan penyebab alahan di peringkat awal, ia boleh menyebabkan kesan yang berpanjangan bukan saja kepada si anak malah seluruh keluarga.

“Terdapat 71 peratus daripada responden kajian ini mengakui hal terbabit dan berasakan masa depan serta kualiti kehidupan anak mereka bakal dipengaruhi oleh alahan,” katanya.

Sarannya, lakukan ujian alahan pada setiap ahli keluarga dan dapatkan bantuan pakar untuk mengenap pasti langkah pencegahannya.

Lengkapi diri dengan langkah pencegahan

Pakar Perubatan dan Pakar Alahan dan Imunologi Klinikal, Dr Kent Woo Chee Keen menjelaskan sehingga kini belum ada penawar bagi mengubati alahan makanan dan pernafasan.

Memandangkan masih tiada penawar, saya ingin memperkenalkan pendekatan serampang tiga mata untuk menguruskan penyakit disebabkan alahan ini.

Langkah pertama 
  • Pastikan tahap risiko alahan diri. 
  • Sejarah perubatan keluarga salah satu penanda aras yang terbaik bagi mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi.
  • Di Malaysia, dianggarkan empat bagi setiap lima kanak-kanak berisiko mendapat alahan apabila ibu bapa mereka mempunyai alahan.

Langkah kedua
  • Pergerakan Alahan’ atau ‘Allergic March’ yang menunjukkan bagaimana satu jenis alahan boleh melarat ke jenis alahan yang lain.
  • Kajian menunjukkan ekzema menjadi penunjuk utama dalam peningkatan risiko kanak-kanak terhadap alahan.
  • Kanak-kanak yang mempunyai ekzema berisiko tinggi untuk mendapat serangan asma dan alahan pernafasan apabila mereka meningkat dewasa.
  • Pencegahan ialah cara terbaik bagi menghentikan serangan alahan yang pertama dan seterusnya menerusi amalan diet seimbang.
  • Faedah susu ibu sememangnya tidak dapat disangkal memandangkan ia menjadi sumber nutrisi terbaik dan mungkin mengurangkan risiko alahan bagi mereka yang sekurang-kurangnya menyusu selama empat bulan pertama.
  • Kalangan ibu digalakkan memberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama dan jika mampu, diteruskan sehingga si kecil berusia dua tahun.
  • Jika susu ibu tidak dapat diberikan, protein separa terhidrolisis atau ‘partially hydrolysed protein’ (PHP) terbukti secara klinikal dapat memberikan kelebihan untuk mengurangkan risiko ekzema ini.

Langkah terakhir ialah pencegahan.
  • Ini boleh dilakukan dengan mengetahui dan memahami alahan anda serta apa yang menyebabkan alahan itu.
  • Perlindungan terbaik adalah dengan mengelakkan sama sekali penyebabnya

Berdasarkan hasil kajian terbabit, MSAI akan memulakan pembangunan Pelan Tindakan Alahan Malaysia dengan memperkasakan pakar perubatan profesional di seluruh negara bagi mengurangkan kos rawatan berkaitan pengurusan alahan, di samping membangunkan program khas dalam komuniti masing-masing.

Ini bertujuan menguruskan pencegahan alahan secara efektif, seterusnya memperbaiki kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

No comments: