“Jangan buat saya gelak, nanti terkencing, susah,” mungkin ayat tersebut anda sendiri biasa luahkan atau pernah dengar dari kenalan wanita anda terutamanya yang sudah berusia dalam lingkungan 50 tahun ke atas yang akhirnya mengundang tawa.
Dengan gelak berlebihan atau bersin malah batuk sekalipun, ia boleh membuatkan golongan ini “terkucil” sedikit, maka langkah berjaga-jaga diambil dari awal seperti memakai lampin wanita yang tebal bagi menampung air kencing yang tidak dapat dikawal dari keluar secara tiba-tiba.
Logik yang paling mampu difikirkan kita ialah masalah tidak dapat mengawal kencing ketika gelak, bersin dan batuk itu berpunca daripada pertambahan usia menyebabkan otot-otot yang terlibat telah longgar dan hasil daripada melahirkan anak yang banyak.
Tapi tahukah anda, masalah yang dipanggil prolaps organ pelvis ini bukan sahaja melanda wanita yang lebih berumur, ia turut berlaku dalam kalangan wanita seawal usia 30 tahun namun kurang didedahkan kerana rasa malu dengan kondisi tersebut.
Prolaps organ pelvik ialah bonjolan satu atau lebih organ pelvis ke dalam vagina iaitu uterus, vagina, usus dan pundi kencing. Masalah yang sering didengari ialah rahim jatuh yang berkaitan dengan otot di sekitar pelvis yang telah longgar.
Tahukah anda juga, masalah tidak mampu mengawal kencing bagi wanita ini tidak perlu dianggap seperti “takdir” dan menerima sahaja kekurangan ini sedangkan mampu dirawat dengan pembedahan lantai pelvis.
Masalah sukar mengawal kencing mungkin kelihatan kecil sahaja namun sebenarnya ia memberi impak besar kepada kehidupan seseorang terutama dari segi mental dan kualiti hidup. Apatah lagi ia membuatkan seseorang lebih sukar untuk menyucikan dirinya untuk beribadah kerana masalah itu .
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Klang, Dr. Jeevaretanam Soosaimuthu, maslah ini melanda ramai wanita hanya sebilangan kecil pesakit yang mengambil langkah bertemu dengan doktor.
“Selalunya ia berlaku kepada wanita yang berumur 30 hingga 60 tahun kerana mengalami masalah di saluran kencing. Ada pesakit yang berasa kencing tidak memuaskan dan ada juga yang kadang-kadang tidak dapat mengawal kencingnya terutama ketika ketawa, batuk dan bersin.
“Ada juga keadaan pesakit berasa sakit di tempat kemaluan. Sesetengah tahap pesakit turut dapat merasakan ada organ terkeluar daripada vagina. Malah Prolaps organ pelvik juga turut boleh menyebabkan mereka tidak dapat mengawal najis dari keluar kerana otot di sekitar usus yang lemah.
“Semua ini sebenarnya boleh dirawat dengan pembedahan lantai pelvik namun ramai yang tidak memandang berat masalah ini dan hanya datang apabila rahim sudah jatuh dengan teruk iaitu peringkat ketiga, iaitu keadaan dimana mereka benar-benar tidak boleh kencing.
“Ia masih boleh diselamatkan dengan pembedahan lantai pelvik yang tidak memakan masa yang lama namun elok jika bertemu dengan doktor lebih awal supaya ia tidak bertambah rumit,”
1 Comments
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete