Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh American Cancer Society di Amerika Syarikat, amalan memakan makanan yang dibakar menjadi salah satu punca yang membawa kepada penyakit kanser.


Memanggang makanan terutamanya daging dan makanan laut pada suhu yang tinggi berpotensi menghasilkan dua jenis gas iaitu heterocyclic amines (HCAs) dan polycyclic hydrocarbon (PAHs) yang sangat berbahaya ke atas tubuh badan.


Hasil kajian yang dibuat pada haiwan mendapati, HCAs mampu merosakkan DNA dan mempercepatkan pertumbuhan tumor di sel-sel pada usus besar, payudara, prostat dan sistem limfa yang terbentuk daripada makanan yang dibakar pada suhu 176 darjah Celsius ke atas.

PAHs pula terbentuk daripada lemak daging yang menitis di atas bara panas sehingga membentuk asap yang mencemari makanan dan dikaitkan dengan punca kepada masalah penyakit kanser payudara.

Menurut Colleen Doyle yang merupakan Pengarah di American Cancer Society, risiko menghidap masalah kanser boleh diatasi melalui beberapa cara seperti membuang lemak berlebihan pada daging serta mengamalkan pemakanan sayur-sayuran.