Kanak-kanak lelaki itu terbatuk berulang-ulang kali sebelum dia kelihatan sesak nafas lalu pengsan sewaktu sedang menonton televisyen di rumahnya.

Dylan Fitton, 6, terpaksa dibantu oleh bapa saudaranya yang terus melakukan bantuan pernafasan (CPR) kepada kanak-kanak itu sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.

Menurut ibu kanak-kanak itu, Leanne, 27, jantung Dylan pernah terhenti sebanyak empat kali dalam tempoh 48 jam hanya kerana dia terbatuk. Dia boleh mati bila-bila sahaja akibat batuk.

Dylan sekali lagi diserang batuk yang teruk semasa masih dalam rawatan di Hospital Royal Oldham, Britain dan perkara itu amat menggusarkan kedua-dua ibu bapanya.


Penyakit misteri yang tidak diketahui nama serta puncanya itu menyebabkan doktor di Britain keliru kerana belum pernah berhadapan dengan pesakit sepertinya.

Penyakit misteri

Leanne amat tertekan dengan keadaan Dylan, namun tetap bersyukur kerana anaknya itu berjaya diselamatkan. Jika tidak kerana tindakan pantas bapa saudara Dylan, Liam Fairfoull yang perasan wajah kanak-kanak itu bertukar biru kanak-kanak tersebut mungkin kini sudah meninggal dunia.

Ibu muda yang berasal dari Oldham, Greater Manchester itu berkata, dia terlalu risau setiap kali anaknya itu terbatuk.

“Keadaan Dylan berbeza dengan orang lain. Saluran pernafasannya akan terus tertutup apabila dia terbatuk dan dia seterusnya akan berhenti bernafas.

“Doktor terpaksa melakukan endoskopi bagi mengenal pasti punca saluran pernafasannya yang tertutup selepas dia batuk. Bagaimanapun, sehingga kini mereka tidak mengetahui puncanya.

“Saya juga sering tidak senang duduk setiap kali Dylan ke sekolah. Saya risau dia mengalami sesak nafas,” jelasnya.

Menurut doktor yang merawatnya, jika Dylan batuk biarpun sekali sahaja lagi, kanak-kanak itu mungkin akan terus mati kerana degupan jantungnya akan terhenti serta-merta.

Sebagai ibu, Leanne menyifatkan, keadaan kesihatan Dylan yang misteri itu merupakan mimpi ngeri buat dia dan suaminya, Mark Hague, 34.

“Ia amat sukar kerana kami tidak tahu puncanya. Dylan sememangnya menghidap penyakit lelah selain jantungnya pernah terkena jangkitan sebelum ini.

“Oleh itu, doktor menganggap penyakit lelah Dylan mungkin menjadi punca jantung kanak-kanak itu terhenti beberapa kali pada Disember tahun lalu,” ujarnya.

Dylan pada mulanya ditempatkan di Hospital Royal Oldham selama dua hari sebelum kesnya dirujuk dan dipindahkan ke Hospital North Manchester, Britain.

Di sana, dia ditahan selama empat hari sebelum sekali lagi dipindahkan ke Hospital Kanak-kanak Royal Manchester selama dua minggu.


Keadaa jantung orang normal (kiri) dengan keadaan jantung pesakit lelah (kanan).


Rawatan sementara

Buat masa ini, hanya satu sahaja rawatan buat penyakit Dylan iaitu kanak-kanak lelaki itu perlu sentiasa menggunakan mesin defibrilator yang membolehkan jantungnya dihidupkan semula sekiranya ia terhenti.

Harga mesin itu yang terlalu mahal memaksa Leanne dan suaminya, Mark untuk meminta dana bagi membeli mesin tersebut.

Selain itu, Dylan perlu sentiasa diberi antibiotik dan alat sedut bagi mengelak dia daripada diserang lelah.

“Sebagai ibu, saya sedih apabila memikirkan bahawa anak lelaki saya tidak boleh bergerak aktif seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

“Kami berharap agar dia boleh sembuh satu hari nanti dan boleh menjalani kehidupan dengan normal,” ujar Leanne menutup bicara.