Mengandung memang seronok tapi bila bab perubahan yang berlaku pada perut, mesti ramai yang rasa hendak menjerit. Apa tidaknya perut yang dulu licin tanpa parut kini ada tanda garisan. Itu namanya kesan regangan atau stretchmark.

Masalah normal ini memang selalu berlaku di kalangan ibu hamil. Dalam bahasa kehamilan, ia dikenali sebagai stretchmark.

Apa itu stretchmark?
Stretchmark atau rekahan kulit adalah parut kecil yang terjadi di permukaan kulit akibat daripada kesan regangan kulit yang semakin membesar sewaktu hamil.

Kehamilan biasanya menyebabkan perubahan bentuk badan dan pertambahan berat badan yang cepat membuatkan kulit hilang keanjalan. Akibatnya keadaan perut bakal ibu mula ada kesan garis yang biasanya terus kekal walaupun selepas melahirkan anak.

Kesan rekahan ini biasanya terjadi di bahagian perut, payudara, punggung, pinggul, paha dan ada juga yang mengalaminya di bahagian lengan. Tetapi ada juga ibu yang bernasib baik langsung tidak mengalami kesan rekahan ini. Beruntunglah mereka itu.
Perlu diketahui bahawa 90% wanita mengalami kesan regangan semasa hamil. Wanita yang berkulit lebih gelap, lebih muda dan mempunyai sejarah kesan regangan di kalangan ahli keluarga merupakan golongan yang berkemungkinan tinggi mengalami kesan regangan.
Kata orang pencegahan awal lebih baik daripada rawatan selepas masalah berlaku. Walaupun ada yang berjaya menghilangkan kesan rekahan namun lebih baik anda mengelakkan ia daripada berlaku.

Antara langkah awal yang boleh mengelakkan daripada berlakunya kesan rekahan adalah:

1. Kalau merancang untuk hamil, rajin-rajinlah menyapu losyen yang mengandungi minyak zaitun, minyak kelapa atau aloe vera. Tujuan losyen adalah untuk mencegah kulit  daripada kering dan mencegahnya daripada merekah akibat regangan semasa hamil.

2.  Waktu paling baik menyapu losyen iaitu selepas mandi agar kulit kelihatan lebih sihat dan sentiasa lembap.

3.  Elakkan pengambilan minuman berkafein dan beralkohol yang boleh menyebabkan kulit kering. Banyakkan minum air mineral yang boleh membantu melembapkan kulit.

4.  Makan banyak buah-buahan, minum air masak, yogurt dan susu segar bagi memastikan badan sentiasa cukup bekalan air.

5. Melakukan senaman yang kerap ketika hamil contohnya seperti berjalan dan berenang berupaya untuk meningkatkan peredaran darah dan membantu mengekalkan peredaran tersebut dalam keadaan yang terkawal.

Bagaimanapun masalah ini biasanya akan mula berkurangan dalam tempoh enam bulan selepas ibu selamat melahirkan anak. Itu pun jika anda prihatin dengan kehadirannya dan mengambil langkah pencegahan awal seperti rajin menyapu kawasan regangan dengan krim anti regangan, mengawal pertambahan berat badan, kerap bersenam dan sebagainya.

Tanpa penceghan rapi, anda mungkin terpaksa kekal 'hidup' dengan kesan regangan tersebut untuk selama-lamanya.