Demam tifoid (kepialu) adalah satu jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi). Bakteria ini terdapat di dalam darah, urin dan najis pesakit dan juga najis pembawa.
Pembawa adalah seorang yang mempunyai bakteria tifoid dalam saluran penghadamannya tetapi tidak mempunyai gejala demam tifoid. Mereka ini sukar dikesan dan sentiasa mengeluarkan bakteria tifoid di dalam najis dan seterusnya menjangkiti orang lain.
Demam Tifoid Merebak
- Melalui makanan dan minuman yang tercemar oleh najis manusia yang mengandungi bakteria Salmonella typhi.
- Melalui makanan dan minuman yang disediakan oleh pesakit dan pembawa bakteria Salmonella typhi.
- Melalui hinggapan lalat yang membawa bakteria Salmonella typhi.
- Menggunakan bekalan air tidak bersih.
Tempoh pengeraman adalah antara 3 hari hingga 3 bulan (purata 1 hingga 3 minggu), iaitu tempoh pesakit menunjukkan gejala selepas mendapat jangkitan bakteria ini.
Tanda-tanda dan Gejala
- Demam panas berpanjangan
- Sembelit
- Sakit badan / lemah / letih lesu
- Kurang selera makan
- Sakit kepala
- Mata layu dan cengkung
- Cirit birit
- Sakit perut
- Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)
- Tidak sedarkan diri dan meracau
Bahaya Demam Tifoid
- Pesakit boleh mengalami pendarahan dan bahagian yang dijangkiti di dalam ususnya boleh pecah/bocor
- Menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya.
- Dua (2) hingga 5 peratus kes menjadi “carrier” atau pembawa kronik kerana bakteria masih wujud dalam saluran biliari walaupun gejala telah tiada.
Langkah-langkah Pencegahan Demam Tifoid
- Basuh tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas dan juga sebelum menyediakan makanan.
- Basuh ulam-ulaman, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan air bersih sebelum dimakan.
- Hanya gunakan air bersih untuk penyediaan makanan.
- Basuh pinggan mangkuk dengan menggunakan air yang bersih.
- Minum air yang telah dimasak atau air yang telah dibotolkan.
- Tutup semua makanan.
- Gunakan penyepit untuk mengambil makanan.
- Gunakan tandas yang bersih dan sempurna.
- Gunakan bekalan air yang bersih dan terawat.
- Bersihkan kawasan sekeliling rumah dan lupuskan sampah dengan sempurna.
- Pilih gerai dan pengendali makanan yang bersih.
Pelalian boleh diberi bagi mencegah jangkitan. Terdapat dua jenis vaksin iaitu Oral Ty 21a dan suntikan Vi CPS. Kedua-dua vaksin adalah selamat dan berkesan. Suntikan ulangan perlu diambil setiap 3 tahun. Pelalian menghasilkan perlindungan 7 hari selepas suntikan/pengambilan vaksin.
SEGERA DAPATKAN RAWATAN JIKA ANDA MENGALAMI GEJALA DEMAM TIFOIDSumber : Myhealth.Gov
0 Comments