Ginkgo Biloba adalah antara salah satu spesis pokok yang tertua di dunia. Ekstrak daun Gingko biloba sering digunakan bagi tujuan rawatan., Secara tradisional ,Ginkgo digunakan dalam rawatan sebagai supplemen bagi membantu meningkatkan peredaran darah dan meningkatkan daya ingatan.

Para saintis menemui 40 jenis bahan dalam gingko, namun hanya dua jenis bahan iaitu flavanoids dan terpenoids sahaja yang dipercayai bertindak sebagai ubat.
Flavinoids adalah antioksidan yang berasal daripada tumbuhan dan kajian ke atas haiwan menujukkan ia dapat memelihara saraf ,otot-otot jantung, salur darah dan retina mata daripada kerosakan. 
Terpenoids bertindak dengan meningkatkan pengaliran darah melalui pembesaran salur darah dan mengurangkan kepekatan platelet.

Banyak kajian saintifik telah dilakukan ke atas ginkgo biloba bagi mengenalpasti fungsi ginkgo dari aspek perubatan. Di antara kegunaan ginkgo adalah seperti berikut :

  1. Fungsi kognitif (daya pemikiran dan ingatan)
    • Ginkgo sering diperkatakan sebagai `brain herb’. 
    • Terdapat beberapa hasil kajian yang yang mengaitkan dengan peningkatan daya ingatan ke atas pesakit dementia namun tiada kesan sedemikian dikesan bagi individu yang sihat dan yang mengalami kekurangan daya ingatan akibat peningkatan umur.
  2. Raynaud’s Syndrome (rasa sakit terutama pada jari tangan dan kaki kerana sejuk)
    • Terdapat kajian yang menunjukkan pesakit yang mengambil Ginkgo dapat mengurangkan simptom penyakit selepas 10 minggu penggunaan berbanding dengan pesakit yang tidak mengambilnya.
  3. Premenstrual Syndrome (PMS)
    • Ginkgo juga dikatakan dapat mengurangkan simptom yang berkaitan dengan PMS
  4. Glaukoma
    • Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan Ginkgo dengan dos 120mg selama 8 minggu memperbaiki daya penglihatan pesakit glaucoma.
  5. Sakit kaki ketika berjalan akibat aliran darah yang lemah
    • Terdapat hasil kajian yang menunjukkan apabila mengambil ginkgo, pesakit yang mengalami masalah ini dapat berjalan dengan lebih jauh tanpa merasai kesakitan.
  6. Vertigo (gangguan keseimbangan) dan pening
    • Ginkgo mungkin dapat mengurangkan simptom akibat pening dan gangguan keseimbangan
  7. Meningkatkan tahap penglihatan warna pesakit diabetes
    • Terdapat hasil kajian yang menunjukkan dengan mengambil ekstrak ginkgo untuk tempoh 6 bulan boleh memperbaiki tahap penglihatan warna bagi pesakit yang mempunyai kerosakan retina akibat penyakit diabetes


Pengambilan ekstrak gingko dalam dos yang sesuai dikatakan selamat. Namun terdapat kesan –kesan sampingan minima yang mungkin dialami seperti berikut:-

  • Pening
  • Sakit kepala
  • Jantung berdebar-debar
  • Sakit perut
  • Alergi pada kulit
  • Mudah berdarah/lebam

*Nota: Sila dapatkan nasihat doktor/Ahli farmasi sekiranya kesan –kesan di atas didapati berpanjangan.

Ginkgo biloba mempunyai banyak interaksi dengan ubat dan herba lain. Pengambilan ginkgo boleh meningkatkan atau mengurangkan kesan sesuatu ubat atau herba. Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor atau Ahli Farmasi sebelum mengambil ginkgo biloba.

Antara ubat/herba yang mempunyai kesan dengan ginkgo biloba adalah:

  1. Ubat sawan (epilepsy) – contoh : Carbamazepine, Gabapentin, Phenytoin
  2. Ubat tahan sakit, nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) – contoh : Ibuprofen, Naproxen, Piroxicam
  3. Ubat cair darah – contoh : Warfarin, Aspirin, Heparin
  4. Ubat anti-platelet – contoh : Clopidogrel, Ticlopidine
  5. Ubat anti-depressan – contoh : Amitriptylline
  6. Herba – contoh : St. John’s wort, cedar leaf, folic acid, melatonin, Panax ginseng

Gingko adalah TIDAK SELAMAT diambil oleh Ibu Mengandung dan menyusukan anak.
Biji Gingko adalah dilarang untuk diambil oleh kanak-kanak.

Memaklumkan doktor atau ahli farmasi jenis ubat-ubatan yang sedang digunakan sebelum memulakan pengambilan ginkgo biloba terutamanya jika anda sedang menerima rawatan penyakit sawan, kencing manis atau masalah pendarahan.

Maklumkan doktor atau ahli farmasi sekiranya anda sedang mengambil gingko dan akan menjalani pembedahan.

Sumber : MyHealth