Ia situasi biasa yang berlaku dalam hampir setiap keluarga dan lazimnya ibu bapa hanya mengikut kehendak anak kerana tidak mahu si kecil berterusan menangis.
Bagaimanapun mendidik anak untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang bukanlah perkara sukar. Ada segelintir kanak-kanak yang gemar menikmati sayuran dan buah-buahan sementara ramai pula memilih makanan ringan.
Semuanya bergantung kepada tabiat pemakanan ibu bapa itu sendiri. Memetik kenyataan pakar diet klinikal di Pusat Perubatan Tropicana Nurathirah Abd Mu’as, punca utama masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak datang daripada tabiat gaya hidup ibu bapa mereka sendiri.
“Apabila ibu bapa mengabaikan kepentingan makanan seimbang dan tidak menjalani gaya hidup yang sepatutnya, si anak secara automatik meniru apa yang dilakukan ibu bapa mereka.
“Kalau ibu suka hidangkan makanan ringan dan bergoreng serta tanpa banyak sayuran, si anak terbiasa dengan amalan itu hingga sukar atau terlewat untuk ibu bapa mengubah kepada tabiat pemakanan yang lebih sihat,”
Apa yang perlu dilakukan ibu bapa?
Faktor masa dan kewangan tidak sepatutnya menjadi alasan kerana satu atau dua jenis sayuran dalam hidangan harian sudah memadai bagi mengajar kanak-kanak ini dengan tabiat pemakanan sihat.
Seperti apa yang dilakukan pakar hiasan dan seni makanan,
Lee Samantha, mainan warna dalam hidangan dan berdaya kreatif dalam hidangan membolehkannya menanam amalan pemakanan sihat pada dua anak perempuannya.“Selepas melahirkan anak pertama, saya mula kurang makan di luar dan lebih selesa menyediakan hidangan untuk keluarga di rumah.
“Melalui cara itu, saya dapat kawal bahan yang digunakan dan menentukan rasa yang sesuai dengan selera keluarga.
“Namun sukar untuk memastikan anak saya makan hidangan yang disediakan kerana terlalu cerewet dan dia gemar memilih satu jenis sumber saja, selalunya ayam.
“Mulai dari situ saya mencuba beberapa cara untuk memujuknya mengambil sayuran dan nampaknya menghasilkan seni makanan adalah langkah paling efektif.
“Saya mula lakukan banyak kajian dan tidak berhenti mencubanya hinggalah pada akhir 2008 saya menjadikan aktiviti seni makanan ini sebagai karier,” katanya.
Melihatkan kepada hasil tangannya, pendekatan Lee kepada seni makanan ini agak unik, tidak remeh dan penuh imaginasi.
Dia juga menggunakan alatan yang mudah antaranya lidi kecil, gunting dan pisau.
“Saya tidak suka membazir makanan semata-mata atas nama seni. Saya merancang seni yang dihasilkan terlebih dulu di atas kertas dan kemudiannya memilih bahan segar yang mudah dibentuk dengan pisau atau gunting.
“Tidak perlu hasilkan seni makanan yang besar atau ekstravaganza kerana kanak-kanak sudah cukup gembira apabila dalam pinggan mereka meriah dengan pelbagai bentuk comel,” katanya.
0 Comments