NAFLD : Penyakit Hati Yang Anda Perlu Tahu !


Ada lebih 100 penyakit yang memudaratkan kesihatan hati tetapi penyakit hati yang lazim berlaku ialah penyakit hati berlemak tanpa alkohol (Non-Alcoholic Fatty Liver Disease atau NAFLD).

NAFLD terjadi akibat pengumpulan lebihan lemak yang bukan disebabkan oleh pengambilan alkohol. Ia disebabkan punca lain seperti obes, gangguan insulin dan diabetes.

Dianggarkan lebih 30 peratus orang dewasa di negara maju menghidap NAFLD dan antara 70 peratus hingga 90 peratus daripada mereka yang obes atau menghidapi diabetes berdepan masalah NAFLD.

Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 17 peratus individu dewasa mengalami penyakit ini dan angka ini dijangka meningkat berikutan gaya hidup dan amalan pemakanan tidak sihat dalam kalangan rakyat.
Adalah sesuatu yang normal untuk hati mengandungi sedikit lemak. Namun, anda boleh tergolong sebagai pesakit hati berlemak jika jumlah lemak pada hati melebihi lima peratus daripada berat keseluruhan organ berkenaan.

Penyakit hati berlemak tanpa alkohol (NAFLD) mungkin bukan penyakit biasa yang didengar oleh kebanyakan orang, namun penyakit ini semakin menjadi kebimbangan di seluruh dunia dalam hal berkaitan kesihatan.

NAFLD ialah sejenis gangguan hati kronik yang utama dan kebanyakannya berlaku di negara perindustrian seperti Amerika Utara, Eropah dan Australasia, malah NAFLD juga didapati semakin meningkat pada kadar membimbangkan di kawasan Asia Pasifik.

Kajian menunjukkan kadar tersebar luas menjangkau 30 peratus di Taiwan dan Jepun serta 20 peratus di China, terutama dalam kalangan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Di Malaysia pula, NAFLD membabitkan sebanyak 60 peratus populasi rakyat obes termasuk mereka yang mempunyai kekurangan tolerans glukosa.

Presiden Yayasan Hepar Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, ketika ini kesedaran di Malaysia mengenai NAFLD serta bahaya penyakit itu masih rendah.

"NAFLD boleh wujud bertahun-tahun tanpa dikesan hingga pemeriksaan rutin dijalankan. Pada tahap itu, penyakit berkenaan mungkin kian mudarat ke peringkat seterusnya seperti pembentukan parut pada hati (sirosis) atau lebih teruk lagi.

"Peningkatan kesedaran mengenai NAFLD adalah penting selain penyemaian pendekatan lebih proaktif ke arah menangani NAFLD yang lebih baik," katanya pada tutorial media mengenai NAFLD yang dianjurkan 

Yayasan Hepar Malaysia dengan kerjasama Sanofi Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Secara umum, NAFLD ditafsirkan sebagai merangkumi penyakit hati tanpa sejarah pengambilan alkohol yang serius. Penyakit hati ini termasuk fibrosis dan Steatosis Bukan Alkoholik (NASH, rentetan kepada NAFLD yang boleh membawa kepada sirosis), kegagalan hati dan kanser hati.

Penyakit ini tidak membezakan sesiapa, jadi semua individu berisiko mendapat hati berlemak. Walaupun penyebab sebenar belum dikenal pasti, penyakit ini banyak dikaitkan dengan masalah obesiti, kencing manis melitus jenis 2 dan sindrom metabolik (MS).

Dalam kebanyakan kes, NAFLD tidak menyebabkan berlaku apa-apa tanda atau gejala hinggalah mencapai tahap lebih malignan yang menyukarkan diagnosis.

Setakat ini, biopsi hati kekal sebagai cara utama dalam menentukan penyakit, manakala kaedah diagnosis lain yang biasa digunakan termasuk Tomografi Berkomputer (CT scan), Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), ultrasonografi (US) serta penggabungan teknik.

Mengulas cara NAFLD ditangani di Malaysia pada waktu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hepar Malaysia, Prof Dr Nor Shahidah Khairullah berkata, disebabkan kaitannya yang sangat rapat dengan obesiti dan Diabetes Mellitus Jenis 2, amalan gaya hidup sihat kekal sebagai cara paling baik dalam menangani NAFLD.

"Pesakit dinasihatkan supaya mengamalkan tabiat pemakanan lebih sihat, lebih aktif secara fizikal dan mengurangkan berat badan berlebihan.
"Pun begitu, bagi perubahan ketara yang berlaku, semua pihak sama ada kerajaan dan pesakit itu sendiri harus memainkan peranan lebih besar dalam mengatasi NAFLD yang kian meningkat di Malaysia.
"Jururawat juga harus bekerja di samping doktor bagi memastikan pesakit konsisten dengan pelan rawatan serta membantu mereka dalam apa jua masalah yang mungkin dihadapi berkenaan penyakit itu," katanya.

Jelasnya, dalam sesetengah kes, beberapa diet tambahan boleh membantu mengurangkan kemak hati. Bagaimanapun, kajian masih dijalankan untuk menentukan kepentingannya dalam rawatan NAFLD.

"Setakat ini terapi ubatan yang terbukti masih belum ada, namun kajian awal menunjukkan Fosfolipid Penting (EPL) mempamerkan keberkesanan tinggi dalam menangani hati berlemak.
"Fosfolipid dikenali sebagai unit asas dalam binaan membran sel hati yang menyokong fungsi utama organ itu," katanya.

Sebuah kajian perbandingan turut menunjukkan EPL mempunyai kadar penyerapan yang sangat bagus iaitu lebih 90 peratus jika dibandingkan dengan tisel susu yang hanya berkadar 23 hingga 47 peratus.

Kadar penyerapan yang tinggi ini menyumbang kepada keberkesanan EPL dalam membran sel serta meresap ke dalam sel untuk memberikan kesan pemulihan.

Tanda atau gejala:

Kebanyakan pesakit yang menghidap hati berlemak tidak mempunyai apa-apa tanda. Namun berikut adalah gejala yang boleh didapati:

  • Letih
  • Kurang selesa pada bahagian abdome -di rusuk kanan
  • Pembesaran hati (hepatomegaly)
  • Ujian darah fungsi hati (Liver Function Test) yang tidak normal (alanine amino transaminase atau ALT dan aspartate transaminase atau AST) Kebanyakan pesakit dikesan melalui cara ini.

Biasanya pesakit yang mempunyai risiko untuk menghidap hati berlemak (seperti obesiti dan diabetes) akan dikesan mempunyai keganjilan pada ujian darah fungsi hati atau kadar ALT atau AST yang tinggi.
Seterusnya ujian skan abdomen akan mengesahkan kewujudan hati berlemak. Namun pada sesetengah pesakit, biopsi hati mungkin dijalankan untuk memastikan kewujudan penyakit itu dan tahap penyakit berkenaan.

Komplikasi
Pesakit yang menghidap penyakit hati berlemak pada jangka panjang boleh mendapat sirosis seperti pesakit sakit hati kronik yang lain. Pesakit yang menghidap sirosis boleh mendapat gejala ascites (pengumpulan cecair di abdomen), muntah darah disebabkan oleh pendarahan salur varices di salur pemakanan dan juga hepatik enkephalopathi (koma disebabkan oleh kegagalan fungsi hati).

Pesakit yang menghidap sirosis juga berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati atau hepatoma. Pesakit yang menghidap penyakit yang mempunyai risiko untuk hati berlemak seperti diabetes, darah tinggi dan dyslipidemia hendaklah menjalani rawatan susulan yang berterusan dengan doktor masing-masing kerana ia adalah penyakit yang tidak mempunyai tanda yang ketara pada peringkat awal.

Pencegahan awal akan dapat mengelakkan pesakit mendapat sirosis dan seterusnya mengalami komplikasi yang disenaraikan di atas.

Pencegahan
Amalan gaya hidup sihat penting bagi mengelak penyakit hati berlemak. Tabiat pemakanan yang seimbang adalah penting bagi mengelakkan masalah obesiti dan konsultasi pakar diet atau pemakanan boleh membantu.

Sumber : HMetro

Comments