Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) adalah penyakit kelamin dalam kalangan orang dewasa bercirikan ketuat pada bahagian kemaluan. Ia kelihatan seperti isi buah anggur dan jika jangkitan pada pangkal rahim boleh menyebabkan barah pangkal rahim pada masa akan datang.

HPV adalah virus yang menyebabkan jangkitan pada kemaluan lelaki dan juga lapisan pangkal rahim wanita. Ada pelbagai jenis virus ini, termasuk jenis 6 dan 11 yang banyak menyebabkan ketuat pada kemaluan. Dianggarkan 70 peratus daripada barah pangkal rahim disebabkan oleh virus HPV jenis 16 dan 18.

Vaksin virus ini diperbuat dengan menggunakan protein daripada setiap satu daripada empat jenis virus HPV yang boleh menyebabkan penyakit serius. Vaksin ini diberi kepada remaja bertujuan mencegah barah pang­kal rahim apabila dewasa kelak.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Chong Chee Kheong berkata, di Malaysia vaksin HPV diberikan kepada remaja perempuan berusia 13 tahun di sekolah menerusi Program Kesihatan Sekolah sejak 2010 dan setiap tahun anggaran 230,000 remaja perempuan diberi imunisasi HPV sebanyak tiga dos.

Sejak program imunisasi ini diperkenalkan, pelaporan kesan sampingan selepas imunisasi dilakukan secara aktif bagi menangani isu yang mungkin timbul akibat suntikan vaksin.

"Sehingga kini, sebanyak 3.45 juta dos vaksin HPV digunakan dengan 60 peratus daripadanya vaksin HPV quadrivalent dan kesan samping dengan gejala sama seperti dilaporkan di Colombia tidak berlaku di negara ini. Baru-baru ini, ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita imunisasi HPV tidak selamat.

"Dakwaan ini dibuat berdasarkan satu berita yang diterbitkan di luar negara pada September tahun lalu menyebut lebih 200 remaja di Colombia mengalami gejala pucat, letih dan lesu serta pengsan selepas sehari sehingga 12 bulan menerima imunisasi," katanya.

Menurutnya, kementerian menyemak butiran insiden melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan hanya 11 kes disahkan pihak perubatan Colombia. Kementerian kesihatan negara berkenaan turut menyatakan, tiada bukti kukuh me-ngaitkan gejala dialami dengan vaksin HPV.

"Satu badan berkecuali menjalankan siasatan terhadap kejadian terbabit dan membuat kesimpulan bahawa gejala yang berlaku terhadap remaja terbabit disebabkan 'mass psychogenic response' kepada imunisasi.

"Keadaan sama pernah berlaku di Australia apabila 26 remaja perempuan mengalami pening, pitam dan gejala neurologi. Hanya empat kes yang dimasukkan ke wad tetapi pesakit sembuh tanpa komplikasi.

"Langkah pencegahan yang dijalankan bagi mengelakkan gejala terbabit adalah imunisasi diberi dalam keadaan murid duduk dan mereka diletakkan di bawah pengawasan selama 15 minit selepas diberi imunisasi," katanya.

Menurutnya, Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan kementerian akan terus memantau kesan sampingan selepas imunisasi HPV di kalangan remaja di negara ini, seterusnya memantau kejadian luar biasa yang berkaitan di luar negara.

"WHO dalam laporan dikeluarkan tahun lalu menyatakan vaksin HPV adalah selamat selepas semakan dan siasatan secara saintifik semua kesan sampingan yang dilaporkan oleh negara lain sejak vaksin HPV didaftarkan pada 2006," katanya.