Apabila melihat bayi baharu lahir, tentu anda pernah tertanya-tanya mengapa bentuk kepala bayi semuanya berbeza. Ada yang berbentuk bulat dan ada yang lonjong. Benarkah proses bersalin mempengaruhi bentuk kepala bayi?

Sememangnya bentuk kepala bayi baharu lahir yang berbeza-beza dipengaruhi oleh proses bersalin yang dilalui oleh ibu.

Perbezaan bentuk kepala bayi memang disesuaikan dengan bentuk dan ukuran ketika lahir, saat dia masuk ke laluan kelahiran. Ini kerana tengkorang bayi terdiri daripada beberapa tulang lembut yang belum sempurna.

Bagi ibu yang melalui proses bersalin secara semula jadi, ketika bayi masuk ke saluran kelahiran yang sempit, tulang-tulang tersebut akan disesuaikan mengikut ukuran kepala. Bentuk kepala bayi pun boleh menjadi memanjang atau lonjong kerana disesuaikan dengan bentuk jalan kelahiran. Tetapi ibu tidak perlu bimbang, kerana biasanya beberapa hari kemudian, bentuk kepala bayi akan kembali ke bentuk asal.

Bagaimanapun bayi yang dilahirkan secara pembedahan caesarean tidak akan mengalami bentuk kepala yang lonjong. Proses bersalin secara pembedahan tidak melalui jalan kelahiran semula jadi dan tidak menyesuaikan dengan bentuk saluran kelahiran. Oleh itu bayi ini mempunyai bentuk kepala yang bulat.

Ada juga bayi yang melalui proses bersalin normal dengan bantuan alat seperti vakum untuk menarik kepala keluar, mempunyai bentuk kepala seperti bengkak (benjolan) tetapi ia bersifat sementara sahaja.

Posisi tidur bayi baru lahir turut boleh menyebabkan perubahan bentuk kepalanya. Oleh itu sebaiknya ibu mengubah posisi tidur bayi. Misalnya, ketika bayi sudah tidur, tiarapkan bayi kerana kepalanya boleh menjadi bentuk bulat.

Jika anda terbiasa menidurkan bayi dengan menggunakan penggendong bayi, ia juga antara faktor penyebab kepala bayi tidak bulat. Untuk mencegahnya, ibu boleh merenggangkan ikatan gendongan ketika menidurkan bayi. Ubah posisi agar tidak terlalu lama pada posisi yang sama tetapi pastikan sentiasa menjaga keselamatan bayi.

Ketika bayi tidur, elakkan daripada dia hanya menghadap satu sisi sahaja. Ibu boleh mengubah posisi tempat tidur bayi agar dia terbiasa untuk berubah posisi tidur dan membantu bayi mengubah arah pandangan dari sisi kanan ke sisi kiri atau sebaliknya.

sumber : karangkraf