Penduduk Malaysia sudah biasa makan makanan Melayu, Cina, India, Nyonya, Arab dan pelbagai makanan kaum etnik tidak kira apa bangsa dan latar belakang budaya kita. Namun, apabila merancangkan makanan bayi sendiri, kepedasan dan perisa yang kuat dalam makanan Asia membuat kita berfikir dahulu.

Kebanyakan doktor mengesyorkan supaya menunggu sehingga usia bayi lapan bulan sebelum memperkenalkan rempah-rempah ke dalam makanannya. Ini adalah untuk mengelakkan sakit perut serta reaksi alergi.

Jangan terkejut jika ada di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang menasihatkan anda supaya memberi bayi anda makanan berempah seawal usianya enam bulan. Pada pendapat mereka, lebih cepat bayi anda merasa makanan berempah, lebih mudah dia menyesuaikan diri dengan makanan orang dewasa.

Dalam sesetengah keluarga berketurunan India, ibu bapa akan menyuapkan makanan berempah kepada bayi mereka dalam upacara yang dipanggil annaprashan, iaitu upacara yang melambangkan permulaan bayi bercerai susu.

Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa anda tidak perlu tergesa-gesa memperkenalkan makanan berempah kepada bayi anda. Jika anda biasa memakan makanan berempah semasa menyusukan bayi anda, dia mungkin telah biasa dengan rasanya.

Apa yang penting ialah rempah-rempah ini diperkenalkan satu persatu dalam kuantiti yang sangat sedikit. Tunggu selama empat hingga enam hari sebelum memperkenalkan satu lagi rempah atau makanan baru yang lain. dengan cara ini, seandainya berlaku sebarang reaksi, sumbernya boleh dikenal pasti dengan serta-merta.

"Rempah" tidak bermaksud hanya bahan-bahan pedas sahaja seperti cili dan lada hitam, tetapi termasuk juga bawang putih, halia, asafotida, jintan putih, jintan manis, ketumbar, halba, kunyit dan sebagainya. 

Herba-herba dan rempah-rempah ini bukan sahaja membuat makanan bayi lebih berperisa, tetapi juga berfaedah untuk kesihatan. Asafotida, halia, jintan manis, ajowan dan jintan putih digunakan dalam rawatan tradisional India untuk menenangkan perut kembung dan membantu pencernaan. Bawang putih dan kunyit pula bersifat antiseptik dan antioksida.

Anda mungkin mahu memperkenalkan rempah kepada bayi anda dalam cara berikut:

  • Seulas bawang putih atau sepotong kecil halia boleh diparut dan dimasukkan ke dalam makanan seperti ayam yang disiat-siat atau dal ketika sedang dimasak .
  • Rempah serbuk seperti kunyit, jintan putih dan ketumbar boleh ditambah sedikit ke dalam kuah semasa memasak.
  • Sedikit biji-bijian seperti jintan manis dan biji sawi boleh ditumis dengan sesudu kecil minyak sapi sebagai perisa untuk dal, nasi dan sayur goreng.
  • Secubit serbuk kayu manis, buah pala atau serbuk buah pelaga boleh dimasukkan ke dalam mufin atau pencuci mulut dan manisan lain.
  • Herba segar seperti pudina dan daun ketumbar boleh digunakan sebagai bahan hiasan untuk hidangan sayur goreng, kari dan nasi.
  • Selepas usia anak anda 18 bulan dan sekiranya dia tahan makan makanan berempah, rempah-rempah pedas bolehlah diperkenalkan. Tambahkan rempah seperti cili dan lada hitam dalam kuantiti yang sangat sedikit. Berhati-hati jika menggunakan cili hijau segar dan serbuk cili mentah. Lidah dan perut anak yang sensitif mungkin tidak dapat menerimanya. Anda boleh mengimbangkan rasa pedas cili dengan mencampurkan dadih ke dalam masakan itu. 


Belilah rempah yang berjenama dan serbuk rempah yang mempunyai sijil daripada kerajaan atau badan-badan kesihatan. Semak tarikh pengilangan dan tarikh matinya dan pastikan ia dibungkus dengan baik.

Setelah dibeli, simpan rempah-rempah dengan baik:

  • Simpanlah di tempat yang bersih, kering dan terlindung daripada pancaran terus matahari.
  • Lindungi rempah-rempah daripada kelembapan dengan menyimpankannya dalam bekas makanan kedap udara khas untuk makanan (food grade container).
  • Cuci dan keringkan bekas dengan baik sebelum mengisinya dengan makanan baru untuk mencegah ia dirosakkan oleh bekalan lama.
  • Untuk kegunaan harian, simpanlah rempah dalam kuantiti yang kecil dalam bekas kecil untuk mengelakkan ia daripada tercemar melalui penanganan kerap.


Sumber : BabyCenter