Sauna : Alternatif Senaman Terbaik Bagi Mereka Yang Sibuk


Melakukan senaman dan bersukan adalah cara terbaik untuk mengeluarkan peluh dalam usaha menjaga kesihatan badan.

Namun, tidak semua orang berpeluang melakukan aktiviti fizikal kerana sibuk, malah ada juga yang tidak boleh berbuat demikian disebabkan masalah kecergasan atau mengalami penyakit yang tidak boleh melakukan aktiviti fizikal.

Justeru, bersauna adalah alternatif terbaik untuk mengeluarkan peluh tanpa melakukan aktiviti fizikal. Ini kerana, haba yang dihasilkan ketika dalam proses bersauna mengaktifkan kelenjar peluh dan membantu pengeluaran peluh dari tubuh.

Perunding Kesihatan Sweat-spa, Sabrina Tang berkata, berpeluh adalah proses perkumuhan semula jadi tubuh dan ia sangat penting untuk kesihatan. Ini kerana ia turut berfungsi menyejukkan badan ketika suhu tinggi serta menyediakan sistem sekunder untuk menyingkirkan toksin menerusi kulit.

Kaedah terbaru untuk mengeluarkan peluh dengan lebih cekap ialah bersauna menggunakan sinaran infra merah jauh (FIR) yang mampu menembusi sehingga lapisan ketiga kulit iaitu tisu subcutaneous atau tisu yang berlemak.

Ini berbeza dengan sauna konvensional iaitu wap air panas yang hanya merangsang permukaan kulit untuk mengeluarkan peluh, sebaliknya sauna dengan sinaran FIR bertindak dari dalam berikutan berlaku tindak balas resonan terhadap molekul air.

“Molekul akan bergetar lebih kuat menyebabkan lebih tenaga terhasil seterusnya lebih banyak haba dikeluarkan.

“Oleh itu, peredaran darah lebih lancar kerana saluran darah mengembang dan pembuangan toksin berlaku dengan cepat,” katanya ketika ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sinaran infra merah adalah gelombang elektro magnet yang wujud dalam cahaya matahari dan tidak terlihat mata kasar. Sinaran ini mempunyai jarak gelombang antara 0.76 hingga 1,000 mikron sangat mudah diserap oleh tubuh manusia dan membantu dalam semua aspek pertumbuhan dan perkembangan tubuh.

Walaupun sinaran infra merah adalah sebahagian daripada spektrum cahaya matahari tetapi tidak mengandungi ultra violet (UV) yang boleh merosakkan kulit.

Ia terbahagi kepada tiga bahagian membabitkan infra merah dekat dengan jarak gelombang antara 0.76 hingga 1.5 mikron, infra merah sederhana dengan jarak gelombang antara 1.5 hingga 5.6 mikron dan infra merah jauh dengan jarak gelombang antara 5.6 hingga 1,000 mikron.

Sabrina berkata, setiap bahagian infra merah mempunyai kelebihan kesihatan tersendiri apabila infra merah dekat bermanfaat untuk menggalakkan pertumbuhan dan kecergasan sel hidup pada tubuh manusia dan meningkatkan sistem imun, menyembuhkan luka, merawat kulit bermasalah dan melegakan kesakitan.

Infra merah sederhana pula bermanfaat untuk melegakan kesakitan, melancarkan peredaran darah dan mengurangkan berat badan, manakala infra merah jauh mampu mengurangkan berat badan, proses detoksifikasi, mengurangkan tekanan darah
dan mengurangkan tekanan perasaan.

“Bersauna dapat menggalakkan perpeluhan tanpa melakukan aktiviti fizikal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mereka yang tidak dapat melakukan aktiviti fizikal hanya perlu menjalani proses bersauna dengan FIR selama 30 hingga 45 minit satu sesi.

“Disebabkan sauna FIR ini menghangatkan tubuh dengan haba menembusi secara terus ke dalam lapisan kulit, perpeluhan berlaku dengan lebih cekap dan proses detoksifikasi mampu menyingkirkan toksin dan toksik yang berada di lapisan ketiga.

“Malah, bersauna dengan FIR juga mampu melembutkan tisu lemak yang sudah keras pada lapisan ketiga kulit dan dengan melakukan sauna ini hanya satu sesi juga mampu membakar sehingga 600 kalori,” katanya.

Menurut Sabrina, setiap hari kita terdedah kepada toksin dan toksik sama ada yang terdapat dalam makanan atau persekitaran dan bersauna dapat membantu badan kita melakukan proses mengeluarkan bahan beracun itu berikutan sauna adalah cara detoksifikasi yang paling mudah.

Sumber toksin seperti asap ekzos, pencemaran udara, racun serangga, baja, produk haiwan yang mengandungi hormon dan antibiotik, dadah dalam ubatan sama ada pre-skripsi atau rekreasi, alkohol, tembakau, makanan dengan perisa tambahan, ramuan karsinogenik dalam produk penjagaan peribadi, kemasan pada perabot dan peralatan, radiasi elektromagnet dan minuman dalam botol.

Toksik yang dikenal pasti terkumpul dalam tubuh adalah logam berat seperti kadmium yang ditemui banyak dalam asap rokok dan asap ekzos kenderaan. Logam lain yang dikesan banyak dikumuh menerusi perpeluhan seperti nikel, plumbum, bismut, mangan, aluminium dan merkuri.

“Bahan beracun itu yang terkumpul dalam badan kita menjadi punca pelbagai penyakit dan fungsi terbesar sauna FIR adalah membantu menyingkirkannya dari badan melalui peluh berikutan toksin dan toksik lebih banyak dikumuh melalui perpeluhan berbanding air kencing.

“Selain itu, proses detoksifikasi menerusi sauna FIR juga menguatkan sistem imun tubuh dan membantu proses biokimia tubuh dengan lebih cekap.

“Malah, proses yang sama berupaya menghadam nutrien dalam makanan, di samping membantu mengurangkan tekanan perasaan dan melegakan mereka yang menghidap radang usus besar, keletihan kronik, fibromyalgia, autism dan hiperaktif,” katanya.

Sabrina berkata, proses detoksifikasi menerusi sauna FIR juga mampu menyingkirkan bahan Bisphenol A (BPA) iaitu sejenis bahan kimia yang
terdapat dalam kandungan plastik polikarbonat seperti botol susu, botol air mineral dan bekas makanan.

“Seseorang yang terdedah kepada BPA secara berlebihan akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti gang-guan sistem reproduksi manusia, fungsi kelelakian menurun, sakit jantung, kencing manis, gangguan fungsi otak, kesuburan, kanser payudara dan prostat, semput dan kegemukan.

“Bahan BPA yang terkumpul dalam tubuh manusia lebih banyak dikumuhkan melalui perpeluhan berbanding air kencing. Oleh itu, proses detoksifikasi menerusi sauna FIR adalah cara lebih berkesan dan lebih banyak ia dapat dikeluarkan,” katanya.

Peningkatan suhu tubuh disebabkan sinaran FIR mampu mencapai tisu badan dan memanasnya menjadikan peredaran darah lebih lancar secara keseluruhan dan ini akan membantu proses penyembuhan semula jadi badan. Oleh itu, bersauna berulang-kali dapat membantu satu lapisan nipis sel dalam saluran darah dipanggil endothelium berfungsi dengan baik.

Endothelium merembeskan bahan kimia yang menyebabkan saluran darah dapat berehat atau menguncup. Saluran darah yang sihat juga dapat mengurangkan tahap lemak dalam darah sekaligus mengurangkan pembentukan plak dalam saluran darah (atherosclerosis) dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Manfaat lain sauna FIR dalam membantu menstabilkan tekanan darah apabila proses ini mengembangkan saluran darah dan mengurangkan ketebalan lapisan dalaman.

Katanya, haba dari sinaran infra merah turut membantu tubuh merangsang pengeluaran endorfin iaitu kimia semula jadi yang dihasilkan dalam otak yang bertindak sebagai penahan sakit. Endorfin ini akan menjadikan seseorang itu merasa lega dan tenang.

Sabrina berkata, bersauna dengan FIR kini menjadi satu kaedah untuk mencapai tahap kesihatan yang baik selain melakukan aktiviti fizikal atau bersukan. Malah, kaedah ini juga boleh dilakukan kanak-kanak terutama mereka yang menghadapi masalah kegemukan dan tidak boleh melakukan aktiviti luar untuk mengeluarkan peluh.

Sumber : Harian Metro

Comments