Mengantuk Siang Hari Dan Risiko Sakit Jantung


Sering mengantuk pada waktu siang dikaitkan dengan gangguan kesihatan yang mampu meningkatkan risiko serangan jantung dan strok khususnya dalam kalangan wanita.

Menurut data penyelidikan, para penyelidik menghubungkan rasa mengantuk pada siang hari dengan penyakit kardiovaskular.

"Tidur yang kurang, bekerja secara syif dan berdengkur ketika tidur adalah antara punca seseorang mudah mengantuk pada waktu siang. Gangguan berkenaan menyumbang kepada risiko strok dan penyakit jantung," kata ketua penyelidik, James E. Gangwisch.

Penyelidikan tersebut dijalankan ke atas 84,000 wanita di Amerika Syarikat yang mengikuti Kajian Kesihatan Kejururawatan II antara tahun 2001 hingga 2009.

Dalam kajian itu, penyelidik memantau perkembangan responden termasuk penggunaan aspirin, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi setiap dua tahun sekali sehingga tahun 2009.

Pada akhir ujian, seramai 500 wanita didiagnosis dengan penyakit jantung dan strok :

"Sebanyak 5 peratus wanita yang sering mengadu mengantuk berisiko lima kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung berbanding mereka yang tidak berasa mengantuk.

"Mereka juga cenderung menjadi murung, mengalami gangguan tidur, menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan mempunyai paras kolesterol yang tinggi," jelas Gangwisch.

Sumber : Kosmo

Comments