Petua Mendidik Anak Sentiasa Gembira


Membesarkan anak adalah satu perkara yang subjekif.  Ada orang akan menggunakan pengalaman dan acuan dia dididik sebagai cara untuk mendidik dan membesarkan anak-anaknya. Ia seperti kaedah turun-temurun yang tidak ada betul atau salahnya.

Tetapi tidak salah kalau kita sentiasa cuba belajar dan memperbaiki diri agar boleh menjadi ibu bapa contoh yang sentiasa berusaha mendidik dan membesarkan anak-anak dengan kaedah yang paling terbaik.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah berasa gembira dan ceria. Apabila mereka merasa kenyang, dapat bermain bersama kawan-kawan, ia sudah cukup membuatkan mereka ketawa gembira tanpa perlu memikirkan masalah yang berlaku di sekeliling mereka.

Kadang kala kita perhatikan ada juga kanak-kanak yang tidak ceria dan enggan bersosial dengan kawan sebaya. Mengapa agaknya? Kanak-kanak yang ceria dan gembira akan melahirkan generasi yang berkeyakinan tinggi dan sentiasa berdaya saing di masa hadapan.  Bagaimana hendak melahirkan anak-anak yang gembira dan ceria? Berikut adalah tip yang boleh dijadikan panduan.


Selalu bergurau senda dan ketawa bersama

  • Jika anda memang mengamalkan gurau senda dalam keluarga, tidak mustahil anak anda akan membesar sebagai kanak-kanak yang gembira dan ceria. 
  • Ia membantu kanak-kanak membentuk hubungan sesama manusia. 
  • Gelak ketawa bersama keluarga akan membuatkan kanak-kanak bahagia dan sentiasa berfikiran positif.


Sentiasa bersabar

  • Elakkan daripada meluahkan perasaan marah atau negatif pada anak-anak. 
  • Apabila mereka dilayan dengan kasar, minda kanak-kanak akan dimasuki dengan unsur negatif. 
  • Maka jangan terperanjat sekiranya seawal usia anak anda mereka sudah boleh menjadi kanak-kanak yang agresif dan kurang ajar. 
  • Bahkan sikap tersebut akan terus tersimpan dalam memori mereka sehingga dewasa.


Tanamkan sifat bersimpati

  • Ajar anak agar menghargai orang lain di sekeliling mereka. 
  • Tanamkan juga sifat bersimpati terhadap kesusahan orang lain. 
  • Sifat positif ini penting supaya anak anda membesar sebagai kanak-kanak yang sentiasa mahu membahagiakan dan menggembirakan orang lain juga.


Jangan bergaduh di hadapan anak

  • Ibu bapa sila beri perhatian! 
  • Jangan sekali-kali bergaduh di hadapan anak-anak. Ia akan mengganggu emosi mereka. Mereka akan berasa panik tidak tenteram memikirkan kedua orang yang mereka sayang saling bercakaran.


Sentiasa Peluk Anak

  • Pelukan seorang ayah dan ibu kepada si anak mempunyai kuasa magis tersendiri. 
  • Biarpun anak-anak semakin membesar, jangan lupa untuk sentiasa memeluk mereka kerana ia dapat memberikan aura positif dan semangat untuk anak menjadi insan yang terbaik kerana tahu ayah dan ibu sangat menyayangi mereka.


Sumber : Pama.Karangkraf

Comments