Sering kita mendengar maksud sepotong hadith yang berbunyi,

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Secara umumnya hadith ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dancantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya.

Namun yang lebih penting hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.

Bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? 

Jika hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka, maka di samping itu Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita dalam memilih bakal suami mereka. Hal ini disebabkan aspek memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa penilitian yang mendalam. Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani besama dengan pasangan. Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya.

Ini kerana menurut kajian, kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya.

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi anak-anak perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut. Lelaki yang
sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya, sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya raya, hakikatnya ia adalah miskin.

Mengapa demikian? Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perujudian, minuman keras, berkunjung ke tempat maksiat, berfoya-foya dan sebagainya. Hak-hak isteri dengan sendirinya hilang dan terabai. Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Suami yang hidup dalam kefasikan bermakna mengundang murka Allah SWT. Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumahtangga akan dapat dinikmati?

Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya,

“Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” 

Hasan menjawab,

“Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, teteapi jika ia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.

Prof. Dr. Miqdad Yaljan dalam bukunya bertajuk “al-Bayt al-Islami Kama Yanbaghi An Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian terhadap bakal suami. Ini kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka.

Menurut beliau lagi, sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih mendatangkan kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari sudut sosial, psikologi dan ekonomi. Tambahan lagi pandangan negatif sesetengah masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi tekanan perasaan mereka. Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai oleh golongan wanita berbanding lelaki.

Rasulullah SAW juga amat benci kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik. Baginda mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”.

Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman dan menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik.

Apakah fitnah atau malapetaka yang lebih besar selain daripada menikahkan anak-anak yang berjiwa bersih, berperibadi mulia dan taat menjalankan suruhan agama dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah
Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat?

Kita melihat bahawa berapa ramai anak-anak perempuan yang ketika berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat yang diterajui oleh suami mereka sendiri.

Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh kesesatan suaminya. Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, meninggalkan solat dan bentuk-bentuk ibadah lainnya. Semua ini jelas merupakan kerugian yang nyata sekali bagi dirinya.

Oleh sebab itu, amat wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana bapa atau wali yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik, yang seolah-olah dia memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuannya sendiri.

Kesimpulannya, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial” yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih
sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab, toleransi dan sebagainya.

Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang
soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”. (an-Nur: 32).

Sumber : islam.gov.my