Kemurungan ternyata boleh membawa kepada sakit mental seterusnya menjadi kronik jika pesakitnya tidak menerima rawatan awal.

Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada pesakit yang sanggup membunuh ahli keluarga terdekat, saudara-mara dan jiran tetangga dalam keadaan tidak sedar.

Antara faktor penyebab kemurungan termasuk:

  • Keturunan atau genetik, 
  • Alam sekitar, 
  • Tekanan emosi, 
  • Masalah keluarga serta 
  • Penagihan dadah.

Penagihan dadah juga boleh mencetuskan kemurungan sehingga mengakibatkan pesakitnya bertindak di luar batasan.

Penyakit mental mempunyai dua peringkat iaitu peringkat awal dan serius :

  • Peringkat awal boleh dilihat pada keadaan pesakitnya yang malas ke sekolah atau berkelakuan pelik daripada biasa.
  • Peringkat serius pula membabitkan kemurungan, mendengar suara halus atau halusinasi, rasa orang mengutuk dirinya, ‘melihat’ bayang orang, mende­ngar suara menyakitkan hati, suka berbelanja besar atau melakukan perniagaan berisiko tinggi.

Pesakit di peringkat ini juga tidak boleh tidur, tidak lalu makan, berat badan turun mendadak, suka menyendiri, tidak suka bergaul dengan keluarga, agresif, tumpuan pada kerja terganggu, ponteng sekolah, menghilangkan diri serta tidak dapat menguruskan dirinya sendiri.

Apabila pesakit hilang tumpuan di tempat kerja, individu itu pula berkemungkinan dibuang kerja sekali gus menyebabkan tiada pendapatan dan hilang tempat tinggal. Ini seterusnya membuatkan mereka begitu tertekan hingga melakukan perkara di luar batasan.

Bagi merawat penagihan ini pelbagai cara boleh dilakukan antaranya menerusi gabungan penggunaan ubat-ubatan, kaunseling dan agama.

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Prof Dr Hussin Habil berkata:

Kini ada sedikit kesedaran dalam kalangan ahli keluarga untuk membawa ahli keluarga bermasalah bertemu dengan pakar perubatan untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, masih ada yang tidak mengendahkannya dengan mengabaikan rawatan sewajarnya yang sebenarnya mampu mengelakkan keadaan mereka menjadi lebih parah.

Rawatan lebih saintifik dan susulan mampu menyembuhkan pesakit menerusi khidmat pakar perubatan untuk membimbing mereka bebas daripada kemelut yang dihadapi.

“Sekiranya tidak menerima rawatan, masalah kemurungan akan menjadi lebih parah kerana pesakit boleh bertindak di luar batasan, malah sehingga ke tahap membunuh orang terdekat iaitu ahli keluarga mereka sendiri.

“Mereka juga boleh membunuh diri sendiri selepas membunuh ahli keluarga,” katanya sambil menambah, tekanan antara punca penyakit mental ini.

Psikosis
Kejadian membunuh ahli keluarga sendiri ­dikategorikan sebagai penyakit mental serius ­dipanggil psikosis iaitu :

Pesakit yang sanggup mencederakan dan membunuh ahli keluarga mereka tanpa belas kasihan.

Namun, rawatan awal boleh mencegah daripada terjadinya pembunuhan ahli keluarga terdekat dan paling jauh dibunuh ­pesakit terdiri daripada saudara-mara dan jiran tetangga.

Risiko pesakit psikosis mahu membunuh orang lebih tinggi kerana mereka seakan-akan mendengar suara halus supaya berbuat demikian.
“Untuk mengelakkan kejadian ini, keluarga perlu peka dengan kelakuan ahli keluarga. Sekiranya kelakuan individu itu kelihatan pelik daripada biasa, lebih baik bawa mereka ke hospital atau klinik untuk pemeriksaan.

“Kebanyakan masyarakat lebih percaya ­kepada khidmat bomoh kerana terlebih dulu membawa ­pesakit ke sana untuk proses berubat, namun kelakuan individu itu pula semakin membimbangkan dan keadaan semakin parah.

“Sebaiknya membawa mereka berjumpa pakar perubatan untuk rawatan awal dan susulan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya.

Dr Hussin berkata, rawatan tradisional juga boleh digunakan sebagai rawatan sampingan kerana pesakit perlu juga membersihkan perasaannya.

Rawatan dengan pakar perubatan akan memberikan ubat tertentu kepada pesakit yang perlu diambil secara berterusan.

Kebiasaannya ubat yang dibekalkan kepada pesakit ialah antikemurungan iaitu ubat khusus untuk pesakit mental supaya dia berada dalam keadaan normal dan stabil setiap masa.

Ada juga persepsi masyarakat yang mengatakan pakar perubatan memberi ubat tidur, namun ternyata itu tidak benar.

Pesakit juga perlu ­berjumpa pakar perubatan mengikut jadual yang ­ditetapkan sekiranya mahu sembuh. Rawatan biasanya dalam tempoh enam ­bulan hingga dua tahun atau berterusan hingga mereka sembuh sepenuhnya.

Malangnya, ramai yang mendapatkan rawatan sewaktu keadaan sudah serius apabila individu itu mula memukul ibu bapa sendiri dan ahli keluarga lain atau ada juga yang sudah membunuh ahli keluarga.

Ada beberapa kaedah rawatan yang boleh dijalankan ke atas pesakit mental iaitu kaunseling dan psikoterapi.

Kaunseling

Pesakit akan diberi pendidikan yang menjelaskan berhubung simptom yang mereka hidapi. Rawatan ini perlu dilakukan secara berperingkat hinggalah mereka sembuh sepenuh­nya.

Sesi kaunseling ini akan memudahkan mereka untuk memahami dan berubah menjadi normal.

Pesakit diberi motivasi diri supaya berubah demi keluarga tersayang dan masa depan yang lebih baik.


Psikoterapi

Rawatan ini ialah psikologi bersifat dua hala ­antara doktor dengan pesakit. Antara bentuk psikoterapi ialah psikoterapi dinamik, kognitif dan psikoanalitik.

Bukan semua penyakit mental sesuai ­dengan rawatan ini dan hanya ­pesakit neurosis tertentu yang menerima rawatan ini.

Ia biasanya dijalankan ke atas pesakit yang mempunyai motivasi tinggi untuk berubah, berfikiran terbuka, bijak dan penyakit yang dihidapi tidak terlalu kronik.

Hubungan pesakit pada masa lampau mewarnai persepsi dan tingkah laku pesakit pada masa kini.

Dalam menjalani ­rawatan psikoterapi ini, doktor akan menjelaskan punca sesuatu konflik itu terjadi atau bermula supaya mereka betul-betul memahami.

Konflik yang dihadapi oleh seseorang sama ada ­hubungan dengan ibu bapa atau keluarga banyak ­mencorak cara pesakit berinteraksi dengan individu lain.

Ahli keluarga, masyarakat dan orang sekitar amat penting untuk ­membantu merawat ­pesakit supaya mereka sembuh.

Rawatan jenis ini boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan iaitu ia turut membabitkan empat hingga enam pesakit lain yang mempunyai masalah hampir sama.

Melalui kaedah ini, pesakit akan bertukar pendapat antara satu sama lain dan cuba belajar menangani masalah yang mereka hadapi.

Terapi kumpulan ini biasanya dilakukan ­dalam kalangan mereka yang menghadapi masalah ­penagihan dadah atau mangsa yang ­mengalami trauma akibat kejadian ngeri.

Sumber : HarianMetro