Kebanyakan demam batuk dan selsema adalah disebabkan oleh virus. Jangkitan virus yang menyebabkan demam batuk dan selsema adalah kebanyakan masa boleh baik sendiri tanpa bantuan ubat (self-limiting).

Badan akan mengambil masa beberapa hari untuk membina ketahanan diri dan melawan virus bagi sembuh. Dalam masa ini, jika tiada ubat diambil, kita masih akan sembuh dalam 3-5hari. Kebanyakan masa orang yang dijangkiti samada tiada demam atau ada demam pada tahap yang rendah.

Banyak orang akan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Namun begitu, kebanyakan doktor akan hanya memberi ubat demam, batuk dan selsema tanpa memberi antibiotik. 

Ini kerana antibiotik tidak boleh merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus. Selalunya antibiotik diberi kepada pesakit yang sangat berkemungkinan mempunyai jangkitan yang disebabkan oleh bakteria melalui hasil pemeriksaan doktor.

Jika pesakit yang tidak menghabiskan antibiotik yang diberi, kuman boleh menjadi resistant terhadap antibiotik. Kuman ini boleh disebarkan kepada orang lain, dan mengakibatkan orang lain dijangkiti oleh kuman yang resistant terhadap antibiotik tersebut.

Berbeza dengan orang dewasa atau kanak-kanak yang sudah besar, doktor biasanya tidak memberi ubat selsema dan batuk kepada bayi yang kurang daripada 1 tahun. Ini kerana ubat ini tidak sesuai untuk mereka. Seperti yang saya katakan sebentar tadi, batuk dan selsema disebabkan oleh virus ini boleh baik dengan sendiri kerana badan akan membina antibody bagi melawan virus tersebut.

Ibu bapa hanya perlu pastikan hidung bayi tersebut tidak tersumbat bagi mengelakkan gangguan pernafasan kepada bayi. Bayi yang sukar untuk bernafas biasanya akan selalu merengek kerana sukar untuk tidur dan makan.

Selain daripada itu, jika mereka ada bunyi seperti kahak yang terlalu banyak, tepuklah belakang dada mereka dengan perlahan (chest physio) bagi melembutkan kahak tersebut dan memudahkan mereka samada untuk menelan atau memuntahkan kahak tersebut (sudah tentu bayi tidak pandai membuang kahak dengan sendiri seperti orang dewasa).

Kaedah yang sama boleh diguna pakai untuk kanak-kanak yang masih kecil. Ini penting bagi mengelakkan mereka mempunyai kahak yang terlampau banyak sehingga mereka sesak nafas dan mempunyai kemungkinan untuk mendapatkan jangkitan paru-paru.

Selalunya doktor akan memberi ubat batuk jenis (expectorant) kepada kanak-kanak kecil untuk membolehkan mereka terus batuk dan mengeluarkan kahak. Ubat batuk ini tidak perlu dimakan sekiranya kahak mereka tiada atau sudah sangat cair dan berwarna putih. 

Jika berterusan diberi ubat batuk jenis expectorant ini, kanak-kanak tersebut akan terus batuk kerana ubat ini boleh merangsang mereka untuk batuk. Ubat untuk berhentikan batuk adalah dari jenis antitussive. Namun begitu ubat ini biasanya tidak diberi kepada kanak2 kerana kebanyakan daripada mereka masih tidak begitu pandai untuk membuang kahak tersebut dengan sendiri.

Kesimpulannya :
  • Jangan minta antibiotik kepada doktor. Jika doktor tidak beri, ada kemungkinan anda sebenarnya tidak memerlukan antibiotik
  • Bayi berumur 1 tahun ke bawah, pastikan hidung mereka tidak tersumbat
  • Tidak mengapa kalau bayi atau kanak-kanak memuntahkan kahak mereka sebab mereka tidak pandai mengeluarkannya sendiri
  • Jika doktor beri antibiotik, sila makan mengikut masa yang ditetapkan sehingga habis
  • Jangan berharap anak anda akan berhenti batuk sekiranya anda berterusan memberi mereka ubat batuk jenis expectorant (tanya doktor anda ubat itu jenis apa)
  • Berjumpa dengan doktor sekiranya mempunyai demam yang tinggi (lebih daripada 38.5'c) secara berterusan selain daripada batuk dan selsema

Sila beritahu kepada semua ibubapa di luar sana!

Sumber: Dr Nurul Yusof