Doktor, apa yang saya faham sebelum ini, punca terjadinya kanser serviks adalah jangkitan virus HPV. Jadi, adakah faktor- faktor lain juga boleh mempengaruhi penyakit ini?. Bagi penghidap kanser serviks, adakah mereka mengalami tanda atau apa-apa gejala bagi kanser serviks? Apakah prosedur yang perlu dijalani oleh seseorang wanita yang disyaki menghidap kanser serviks? Mohon jelaskan.

Zizi, Miri

Jawapan

Faktor yang dikatakan mempengaruhi kanser serviks adalah seperti hubungan seks pada usia muda. Risiko menghidap kanser serviks meningkat sebanyak 2.5 kali ganda sekiranya aktiviti seks bermula pada usia 18 tahun ke bawah.

Faktor lain ialah jangkitan virus HPV berisiko tinggi (jenis 16, 18, 31, 45 dan lain-lain), merokok meningkatkan risiko menghidap kanser serviks, keadaan yang menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi rendah seperti penyakit AIDS dan pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang, wanita yang mempunyai pasangan seks yang ramai dan wanita yang melakukan hubungan seks dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan seks.

Gejala-gejala kanser serviks ialah pendarahan selepas hubu­ngan seks atau selepas coitus (postcoital bleeding), pengeluaran lendir bercampur darah dari faraj, perdarahan di pertengahan kitaran haid, perdarahan dari faraj selepas menopaus, hilang selera makan dan penurunan berat badan secara mendadak.

Pada peringkat yang sangat awal, pesakit mungkin tidak mempunyai sebarang tanda ataupun gejala. Gejala yang paling sering dialami oleh pesakit kanser serviks ialah perdarahan faraj selepas melakukan hubungan seks. Kadang-kadang perdarahan juga berlaku di pertengahan bulan.

Gejala kesakitan bukan merupakan petanda awal kanser. Kebanyakan kanser tidak dimanifestasi dengan gejala sakit. Kesakitan sering dikaitkan dengan peringkat kanser yang sudah di peringkat teruk.

Pemeriksaan Lanjut

Apabila seseorang wanita mengalami gejala-gejala seperti yang dimaklumkan sebelum ini, mereka seharusnya terus mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor.

Sekiranya disyaki mengalami kanser serviks, maka wanita tersebut akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan kolposkopi dan biopsi. Sekiranya keputusan ujian biopsi menunjukkan kanser serviks. Jadi, langkah seterusnya adalah menentukan tahap ataupun peringkat kanser tersebut.

Bagi menentukan peringkat (tahap) kanser tersebut, mereka perlu menjalani ujian lanjut. Antara ujian tersebut ialah ujian darah untuk fungsi buah pinggang dan hati, ujian sinar-X dada, ujian CT-scan atau MRI, ujian imbasan ultra bunyi dan ujian intravenous urogram (IVU).

Wanita tersebut kemudiannya akan dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan yang dinamakan Examination Under Anaesthesia (EUA)’ atau pemeriksaan yang dijalankan di dewan bedah di mana pesakit diberikan ubat bius.

Pada masa yang sama ujian sistoskopi (cystoscopy) juga dijalankan untuk menentukan peringkat kanser tersebut. Pemeriksaan ini juga di sebut sebagai ‘staging’.

Pemeriksaan ini dilakukan ke atas pesakit di dewan bedah setelah diberikan bius. Ubat bius yang biasa diberikan adalah secara bius menyeluruh (general anaesthesia) ataupun bius secara regional (spinal anaesthesia).

Sistoskopi pula ialah pemeriksaan pundi kencing dengan menggunakan alat teropong yang dikenali sebagai sistoskop. Alat teropong ini akan disam­bungkan kepada monitor paparan.

Tujuan sistoskopi ini adalah untuk mengesan sama ada terdapatnya kesan perebakan kanser ke bahagian pundi kencing. Selepas pemeriksaan terperinci inilah, barulah peringkat kanser serviks dapat diten­tukan.

Peringkat satu merupa­kan peringkat awal dan peringkat empat merupakan peringkat yang paling serius.