Kajian terbaharu mendapati meminum kopi sebelum mengikuti acara larian meningkatkan prestasi tubuh sekali gus membantu atlet berlari lebih lama.

Penyelidikan yang di­terbitkan dalam jurnal Applied Physiology, Nutrition and Metabolism itu menunjukkan kira-kira tiga hingga enam miligram kafein per kilogram berat badan diperlukan untuk meningkatkan prestasi fizikal.
“Jika mengambil dos kafein melebihi amaun yang disyorkan, ia tidak membantu mempertingkatkan prestasi tubuh sebaliknya membuatkan anda berasa cemas dan pening-pening,” kata kajian itu.
Kajian itu turut menyebut, waktu terbaik untuk meminum kopi bagi meningkatkan prestasi adalah satu jam sebelum memulakan larian.
“Kopi juga dapat membantu ketika pemulihan selepas bersenam atau bersukan. Semasa bersukan, tubuh bukan sahaja kehilangan air, malah turut kehilangan glikogen.
“Individu yang meminum kopi membentuk 66 peratus lebih banyak glikogen berbanding individu yang hanya minum minuman biasa,” tambah kajian itu.